Kerajaan PH perlu tegas elak insiden pasca PRU Indonesia berulang

Kerajaan PH perlu tegas elak insiden pasca PRU Indonesia berulang

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun ) Permatang Pasir, Faiz Fadzil mengingatkan semua pihak supaya menjadikan keputusan pasca pemilihan presiden (Pilpres) Indonesia baru-baru ini sebagai sempadan.

Malah katanya, pasca pemilihan kerusi Pilpres tersebut amat menyedihkan setelah isu agama dan kaum dimainkan sehingga menyebabkan berlakunya konflik dan provokasi yang mencetuskan korban dan kecelakaan.

Oleh kerana itu ujarnya, insiden ini harus dijadikan iktibar oleh semua rakyat maupun pemimpin politik termasuk pembangkang dalam negara ini.

“Apabila isu kaum dan agama dimainkan begitu hangat tanpa batasan dan kawalan, terbukti ia memberi impak yang amat merugikan kepada masyarakat maupun negara.

“Ia telah menyebabkan wujudnya semangat kemarahan yang begitu teruk setelah sentiman kaum dan agama dimainkan secara melampau.

“Setelah ianya tidak dapat dibendung dan dikawal, akhirnya melibatkan nyawa yang terkorban, kerosakan harta benda dan juga hubungan yang tidak lagi damai dan aman, ” jelasnya lagi.

Menurut Faiz lagi, rusuhan yang berlaku begitu ketara memperlihatkan ia menjurus ke arah politik yang tidak sihat dan tidak sepatutnya menjadi amalan oleh mana-mana pihak.

Sehubungan itu tegasnya, tindakan sesetengah pihak yang cuba mengeruhkan suasana dan meracuni pemikiran rakyat negara ini adalah tindakan yang amat tidak bertanggungjawab dan tidak harus dibiarkan berterusan.

“Tindakan golongan yang cuba memesongkan pemikiran rakyat perlu ditangani dengan serius.

“Masyarakat harus diberi pendidikan dan penerangan melalui sesi penerangan, khutbah dan seumpamanya mengenai betapa mahalnya sebuah keamanan dalam masyarakat dan juga negara.

“Bahaya puak pelampau dan ekstrim tidak harus dibiarkan berleluasa kerana ia boleh membentuk keadaan yang lebih ganas dan merbahaya.

“Kita tidak mahu ia menular dalam masyarakat yang akan membentuk pemikiran rakyat dalam jumlah yang besar sehingga tidak dapat dibendung dan dikawal lagi, ” tambahnya.

Saran Faiz, demonstrasi boleh diadakan bagi membentuk keadilan dan kebenaran.

Namun begitu katanya, kerajaan perlu tegas untuk membendung perkara ini dari terus disalah guna dan diambil kesempatan oleh segelintir pihak yang ingin mencari kesempatan bagi menimbulkan suasana tidak tenteram dikalangan rakyat.

Sejajar dengan itu ujarnya, siapa sahaja tanpa mengambil kira mereka adalah pembangkang ataupun pimpinan politik pemerintah yang membawa naratif kepada kemarahan sesuatu kaum mesti diambil tindakan tegas.