Kerajaan PH prihatin ganti peralatan bukan perubatan di Dun Permatang Pasir

Kerajaan PH prihatin ganti peralatan bukan perubatan di Dun Permatang Pasir
Faiz Fadzil (tiga dari kiri) ketika hadir di Klinik Kesihatan Kubang Semang, Bukit Mertajam, kelmarin.

Faiz Fadzil ketika berucap di Klinik Kesihatan Kubang Semang.

Penggantian beberapa peralatan bukan perubatan di klinik-klinik kerajaan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Permatang Pasir membuktikan keprihatinan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam membawa perubahan dalam tadbir urus negara.

Demikian dinyatakan oleh Adun Permatang Pasir, Faiz Fadzil, semasa melawat Klinik Kesihatan Kubang Semang, Bukit Mertajam kelmarin.

Jelas beliau lagi, penggantian beberapa peralatan bukan perubatan seperti bangku berangkai, meja lipat, kipas angin serta pelbagai peralatan lain merupakan suatu keperluan yang harus dilaksanakan.

“Permohonan kepada Kementerian Kesihatan bagi mendapatkan peralatan gantian bukan perubatan yang telah usang menjadi realiti setelah dilayan dengan baik oleh Menteri Kesihatan.

“Peralatan tersebut akan diagihkan kepada beberapa buah klinik kerajaan dalam kawasan Dun Permatang Pasir.

“Ini termasuklah Klinik Kesihatan Kubang Semang, Klinik Desa Permatang Pasir serta Klinik Desa Bukit Indera Muda, ” ujarnya lagi.

Malah kata Faiz, penyerahan peralatan ini membuktikan dengan jelas betapa kerajaan sanggup menyegerakan keperluan kesihatan yang perlu diutamakan.

Tegasnya lagi, peralatan yang telah usang dan digunakan begitu lama tidak ditukar bertahun-tahun sebelum ini walaupun adanya peruntukkan yang besar bagi kementerian tersebut.

“Walau bagaimana pun kepedulian yang segera sepertimana yang dilaksanakan kini oleh kerajaan PH memberi impak yang amat baik kepada masyarakat.

“Selain itu kualiti perubatan bukan sahaja perlu ditingkatkan, sebaliknya ia mesti diperbaiki dengan melaksanakan reformasi segera.

“Dalam tempoh singkat kepimpinan kerajaan PH, pelbagai kemudahan peralatan bukan perubatan telah pun diganti bagi keselesaan masyarakat, ” tambah Faiz lagi.