Kerajaan PH tidak akan wariskan hutang kepada rakyat, kata Faiz

Kerajaan PH tidak akan wariskan hutang kepada rakyat, kata Faiz
Faiz Fadzil ketika memberi pandangan pada program 'Malaysia Baru - Peluang dan Peranan Rakyat' di Pedang, pada Khamis.

Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab sudah pasti usaha bagi memulihkan ekonomi dan kemakmuran negara menjadi keutamaan dan bukannya untuk mewariskan hutang  kepada rakyat  khususnya kepada generasi muda sepertimana yang berlaku semasa di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu.

Demikian dinyatakan oleh Timbalan Ketua Pemuda AMANAH, Faiz Fadzil ketika menyampaikan pandangan beliau dalam  program ‘Malaysia Baru- Peluang dan Peranan Rakyat’ di Pendang, Kedah ,pada Khamis.

Jelas Faiz lagi, kerajaan kini sedang bertungkus lumus bagi merangka polisi baru serta sistem yang mampu untuk menghilangkan beban dan hutang yang banyak.

Sehubungan itu katanya, bagi merealisasikan reformasi atau perubahan yang ingin dilaksanakan, maka satu elemen baru yang perlu diimplementasikan ialah kebebasan dari kepompong amalan jahiliyah.

“Negara maju kini bukan saja mengamalkan demokrasi matang, tetapi juga kebebasan untuk rakyat.

“Prejudis tidak harus ada terhadap kebebasan berfikir dan pandangan rakyat khususnya generasi muda.

“Golongan XYZ kini lebih bijak dan mampu memberi pendapat serta berhujah dengan baik walaupun mempunyai pandangan yang berbeza, sebaliknya memberikan solusi yang lebih baik dan perlu diterima, ” ujar beliau lagi.

Kata Faiz lagi, pendidikan amat penting bagi membina generasi yang bukan sahaja tertumpu pada akademik, ilmiah agama dan moral, tetapi juga elemen penting ialah bagaimana hendak mengurus tadbir sebuah negara.

Sehubungan itu tegasnya, genersi muda perlu diajar didedahkan dan diajar mengenai tadbir urus yang baik serta transparensi.

“Sekiranya pimpinan dan semua peringkat pentadbiran mengakses sifat tersebut, sudah pasti selia urus negara akan licin dan bergerak dengan lancar bersama dokongan rakyat bawahan.

“Generasi muda mesti berani untuk berada di hadapan dengan menzahirkan pandangan walaupun ianya berbeza demi keterlibatan dalam politik dan masa depan negara.

“Sejajar dengan itu penglibatan golongan muda tersebut adalah aset yang amat berharga perlu dijaga dan dikawal selia supaya ia mampu memberi pulangan yang lebih baik kepada negara dalam jangkamasa panjang, ” tegasnya lagi.

Tambah Faiz, perubahan dan polisi yang akan dilaksanakan harus mengambil kira keperluan generasi muda dalam pembentukan negara kearah Malaysia Baru.

Program sehari ini turut dihadiri  oleh Timbalan Presiden, Datuk Salahuddin Ayub dan Pengerusi AMANAH Negeri Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh.