Malaysia Dateline

Kerajaan PH tidak harus kekalkan undang-undang BN

Sesebuah negara sememangnya memerlukan undang-undang ‘anti terrorist’ kerana aktiviti keganasan yang semakin memuncak kini.

Demikian dinyatakan oleh Adun Permatang Pasir, Faiz Fadzil ketika diminta mengulas mengenai Akta Kesalahan Keselamatan(Langkah-Langkah Khas) 2012 Sosma ketika ditemui semasa menyantuni pemuda AMANAH dan penduduk kawasan Permatang Pauh semalam.

Malah katanya, negara ini turut tidak dapat lari daripada mempunyai undang-undang sedemikian.

Walau bagaimana pun ujarnya, Sosma mengandungi beberapa peruntukan yang bersifat drakonian dan tidak berperlembagaan.

“Adalah lebih baik digubal satu undang-undang baharu yang lebih memberikan keadilan kepada orang yang ditahan selaras dengan peruntukan perlembagaan.

“Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak harus kekalkan undang-undang BN.

“Sebaliknya, keperluan menggubal undang-undang baharu adalah suatu kemestian, ” tegasnya.

Faiz ketika menyantuni penduduk kawasan Permatang Pauh semalam.

Menurut Faiz lagi, penguatkuasaan mengekang keganasan perlu diperhebatkan dan perlu dijadikan subjek pelajaran supaya rakyat negara ini tidak terpengaruh dengan apa-apa pemikiran mahupun ‘dogma racialism’.

“Begitu juga dengan islamophobia atau xenophobic yang boleh mengundang unsur keganasan ke negara ini.

“Kempen anti keganasan perlu juga dilancarkan di media arus perdana kerana undang-undang sahaja tidak mencukupi sekiranya rakyat tidak dididik dengan disiplin ilmu.

“Disamping disiplin ilmu tersebut ia juga harus diterapkan dengan perpaduan serta patriotisme,” tambah beliau lagi.