Kerajaan PH tubuh GIACC

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir bersetuju menubuhkan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) yang bertujuan untuk menyelaras dan memantau semua aktiviti berkaitan tadbir urus, integriti dan anti-rasuah di negara ini.

Pusat ini juga bertanggungjawab dalam merancang, menggubal strategi dan menilai polisi bagi memastikan semua urusan kerajaan dilaksanakan berteraskan tadbir urus baik, integriti dan tiada toleransi kepada perbuatan rasuah.

Dr Mahathir juga bersetuju melantik Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed bagi menerajui GIACC kerana beliau berpengalaman luas dalam bidang tadbir urus, integriti dan anti-rasuah sama ada di dalam dan luar negara.

Beliau kini menganggotai Pasukan Khas Siasatan 1MDB dan merupakan tenaga pakar di International Anti-Corruption Academy, Austria.

Antara tugas awal GIACC yang dipersetujui oleh Perdana Menteri adalah memastikan 21 janji berkaitan tadbir urus, integriti dan anti-rasuah yang dikenal pasti terdapat dalam Manifesto kerajaan diberi tumpuan khusus untuk dilaksanakan dalam fasa-fasa tertentu.

Kesemua cadangan penambahbaikan oleh GIACC itu akan dibentangkan dan diputuskan di dalam Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR).

JKKMAR yang bakal ditubuhkan bagi menggantikan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan (JKKMKPK).

JKKMAR akan berperanan dalam penentuan dasar dan hala tuju tadbir urus, integriti dan antirasuah di negara ini melalui kerangka Pelan Anti-Rasuah Nasional (NACP) yang bakal digubal kelak.

Penubuhan GIACC ini tidak akan menyebabkan berlakunya pertindihan bidang dan tanggungjawab dengan agensi-agensi sedia ada.

Sebaliknya, agensi-agensi tersebut akan distruktur semula agar lebih efektif atau dibubarkan mengikut kesesuaian dengan mengambil kira penubuhan GIACC.