Malaysia Dateline

‘Kerajaan pintu belakang’ gagal tangani Covid-19

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) menyifatkan ‘kerajaan pintu belakang’ yang merujuk kepada Perikatan Nasional (PN) sebagai tidak lagi mampu memimpin negara.

Menerusi kenyataan sempena genap tiga tahun PH mengubah kerajaan secara demokratik di peti undi hari ini, blok dianggotai tiga parti itu menegaskan PN kekal sebagai kerajaan minoriti yang tidak stabil.

“Ekonomi negara terus muram dan lesu dengan timbunan hutang, kehilangan pelabur asing, angka pengangguran yang terus meningkat.

“Dari segi kesihatan awam kegagalan kerajaan menangani pandemik Covid-19 semakin ketara jika dilihat lembabnya program vaksinasi dan bersimpang siurnya arahan PKP,” kata Majlis Setiausaha PH.

Menurutnya, kes jangkitan Covid-19 semakin kritikal dengan pelbagai kesilapan kerajaan PN seperti kompaun yang keterlaluan; amalan budaya ‘Antara Dua Darjat’ berleluasa; SOP caca merba lagi mengelirukan serta pelaksanaan darurat yang langsung tidak berjaya mengawal penularan pandemik.

Sehubungan itu, PH menubuhkan sembilan jawatankuasa susulan Ketetapan Port Dickson yang telah dibuat pimpinan utama, serta memahami keperluan memperkukuh gerak kerja pakatan tersebut.

“Rakyat mengharapkan satu perubahan besar, namun kelemahan pemerintah tidak bererti
Pakatan Harapan itu sendiri semakin kuat secara automatik,” tegas mereka lagi.