Malaysia Dateline

Kerajaan pintu belakang punca Bursa Malaysia hilang RM91bilion, kata Faiz

Tindakan pengkhianatan pemimpin politik telah menjejaskan keyakinan pelabur pada ketika kebimbangan terhadap jangkitan koronavirus semakin serius di peringkat global, kata Faiz Fadzil.

Ahli Pimpinan AMANAH Nasional ini berkata, “Langkah Sheraton” yang bermula 23 Februari lepas, juga telah menyebabkan pelabur asing menjual saham-saham tempatan bernilai RM1.26 bilion bersih hanya dalam tempoh lima hari.

” Menurut MIDF Research, ini adalah aliran keluar dana pelabur asing tertinggi dalam tempoh 88 minggu.

“Kejatuhan nilai pasaran saham ini merugikan pelbagai pihak, khususnya rakyat Malaysia yang melabur di Bursa Malaysia.

“Bukan itu sahaja, institusi-institusi seperti Kumpulan Wang Persaraan Pekerja, Permodalan Nasional Berhad dan Kumpulan Wang Amanah Persaraan yang mempunyai pelaburan berskala besar dalam pasaran tempatan juga telah menerima impak negatif,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian, mengulas laporan The Star hari ini yang dipetik berkata, RM91 bilion telah hilang daripada nilai pasaran Bursa Malaysia hanya dalam tempoh seminggu,selepas tertubuhnya kerajaan pintu belakang yang kemudiannya dikenali sebagai Pakatan Nasional.

Faiz berkata, tindakan khianat ini telah menjejaskan keyakinan pelabur, pada ketika kebimbangan terhadap jangkitan koronavirus semakin serius di peringkat global.

Kewujudan kerajaan pintu belakang Perikatan Nasional akan terus menyebabkan ketidakpastian dalam pasaran.

“Kegagalan Muhyiddin Yassin menyatakan secara hitam putih bilangan ahli Dewan Rakyat yang menyokongnya akan memaksa para pelabur untuk menjual pegangan ekuiti mereka.

“Jelas, calon Perdana Menteri Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir mempunyai sokongan 114 ahli Dewan Rakyat dan ini akan membolehkan Pakatan Harapan kembali membentuk kerajaan pusat selaras peruntukan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.

Tambah wakil rakyat Permatan Pasir ini lagi, menerusi pelan pemulihan yang diperkenalkan di bawah Kerajaan Pakatan Harapan, FGV Holdings Berhad telah mula menyaksikan pengukuhan operasi dan kewangan secara signifikan.

“Proses pemulihan kewangan Tabung Haji pula telah dilaksanakan dan masalah “liquidity” badan berkenaan telah berjaya diselesaikan melalui suntikan dana kerajaan sebanyak RM10 bilion.

“Bukan itu sahaja, pada 2 Mac 2020, Khazanah Nasional telah mengumumkan untung operasi tertinggi dalam sejarah sebanyak RM7.36 bilion untuk tahun 2019.

“Ini adalah hasil positif usaha penstrukturan semula Khazanah yang telah dilaksanakan oleh Pakatan Harapan. Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 bernilai RM20 bilion yang diumumkan Tun Dr Mahathir pada 27 Februari lalu yang merangkumi sektor penting ekonomi rakyat mampu melonjak ekonomi negara,” terangnya.

Justeru katanya lagi, mandat rakyat pada PRU14 harus dijunjung dan Umnotidak boleh dibiarkan berada dalam tampuk pemerintahan negara melalui Perikatan Nasional.

“Pakatan Harapan perlu kembali membentuk kerajaan dan meneruskan agenda memulihkan negara daripada masalah penyelewengan dan kelembapan ekonomi dunia.

“Pada masa yang sama, usaha reformasi tadbir urus beberapa institusi dan syarikat berkaitan kerajaan harus diteruskan untuk memastikan kemapanan kewangan negara. Keluhuran Perlembagaan, prinsip integriti dan maruah negara harus dipertahankan,” ujarnya yang masih meneruskan khidmatnya sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).