Malaysia Dateline

Kerajaan ‘pintu belakang’ tetap suka ‘pintu belakang’

Sudah lama warga maya dianggap hanya suka mengecam, terutamanya terhadap pemimpin kerajaan sekarang, Perikatan Nasional (PN). Hampir tiada yang terlepas daripada mereka jika ada yang tersalah perkataan, dan perbuatan.

Walau bagaimanapun, perkembangan terbaharu menunjukkan mereka sebenarnya bertindak dengan waras – siapa sahaja; kalau murni, dipuji; dan kalau buruk, dikutuk.

Hantaran Menteri Pertahanan, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob di media sosial mengenai ‘pintu depan’ telah mengundang seribu pertanyaan.

Kebetulan turut dilampirkan gambar beliau, yang juga Menteri Kanan (kluster keselamatan) sedang menutup pintu pejabatnya. Hantaran yang disertakan keterangan gambar tergantung itu mengundang teka-teki.

“Saya dah tutup pintu depan tapi …….” katanya disertai emoji sedih.
Walaupun hantaran Ismail itu tidak merujuk kepada sesiapa atau menyebut mana-mana keadaan, di ruangan komen, kelihatan ramai warga maya membuat tafsiran sendiri terhadap kata-kata tersirat Ahli Parlimen Bera tersebut.

Ismail, menteri PN, kerajaan yang semakin kerap dikecam, malah telah dipanggil sebagai ‘kerajaan gagal’. Namun begitu, selain masih ada kritikan/sindiran, beliau (seperti) mendapat simpati, dan sokongan warga maya.

Salah seorang daripada mereka menulis, “Datuk harus teruskan bersuara agar menteri yang lain itu dengar masalah yang berlaku. Selagi sektor kilang dibuka maka lockdown (sekatan pergerakan) kali ini umpama tiada erti pada rakyat.

“Fikir-fikirkanlah Dato’. Jangan biarkan diri Dato’ dipersalah oleh rakyat. Kerana satu kutu habis semua jadi mangsa.”

Seorang yang lain menulis, “Pintu belakang kilang banyak.”

“Tapi ada ‘menteri sektor’ itu buka pintu belakang,” tulis yang lain pula.

Tafsiran warga maya tersebut dipercayai merujuk pada kebenaran beroperasi kepada sebahagian besar perkhidmatan perlu dalam sektor perkilangan, walaupun negara kini sedang dalam pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP/total lockdown) penuh 3. 0 sejak 1 Jun lalu.

Dua hari sebelum itu, Ismail mengumumkan semua sektor ekonomi dan sosial tidak dibenarkan beroperasi di sepanjang PKP penuh (1 hingga 14 Jun), kecuali 17 sektor yang dianggap perkhidmatan perlu.

Kilang juga tidak dibenarkan beroperasi di sepanjang tempoh itu, melainkan perkhidmatan perlu mengikut sektor tertentu di bawah 12 kategori.

Pada 31 Mei lalu, Putrajaya memutuskan mana-mana perniagaan yang ingin beroperasi dalam tempoh total lockdown 14 hari, boleh mendapat pengecualian daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Menurut Majlis Keselamatan Negara (MKN), MITI akan berfungsi sebagai pusat sehenti untuk mengeluarkan surat yang membolehkan perniagaan beroperasi dalam tempoh total lockdown.

Ramai yang berpendapat lebih banyak kilang wajar dihalang daripada beroperasi, kerana data menunjukkan sektor perkilangan, dan pembuatan menjadi penyumbang terbesar kes COVID-19 setakat ini.

Malah, terdapat rungutan di media sosial bahawa bahawa ada syarikat yang tidak pun memenuhi kriteria perkhidmatan penting, namun tetap mendapat lampu hijau daripada MITI.

Kilang tidak dibenarkan beroperasi di sepanjang PKP penuh 3.0, kecuali perkhidmatan perlu mengikut sektor tertentu di bawah 12 kategori.

Walau bagaimanapun, tular di media sosial imej surat didakwa dari MITI yang membenarkan operasi sebuah syarikat pengeluar arak.

Lantas, Ismail pada 1 Jun lalu, mengarahkan semua kilang minuman keras menutup operasi serta-merta.

Meskipun tokoh media, Datuk A Kadir Jasin berpendapat Ismail tidak wajar mengganggu kerja Menteri Kanan Ekonomi/MITI, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali hingga menyebabkan kecelaruan, tetapi tindakan tersebut elok kerana arak bukan keperluan anggota terbesar masyarakat.

Antara yang menyindir ialah Ahli Parlimen Segambut (DAP), Hannah Yeoh yang bimbang dengan masa depan negara apabila itu menunjukkan Ismail seperti tiada keyakinan, atau kawalan untuk menjaga ‘pintu depan’nya sendiri.

“Ini Menteri Pertahanan Malaysia. Kalau dia tak ada keyakinan/kawalan terhadap pintu depan sendiri, bayangkan nasib Malaysia,” antara ulasan Hannah di Facebooknya.

“Masa ‘total lockdown’ pun masih ada masa untuk post macam ini sedangkan banyak lagi syarikat tak tahu bagaimana nak mohon kelulusan untuk terus bekerja. Kerajaan Perikatan Nasional (PN) ini saya dah tak tahu macam mana nak komen,” tambahnya.

Mantan Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong (Senator DAP) pula membayangkan hantaran tersebut menggambarkan tiadanya kesepakatan antara Menteri dalam Kerajaan PN.

Dalam ciapannya di Twitter, sambil melampirkan tangkap layar hantaran Ismail, Liew berkata itu bukan kes tiada kumpulan WhatsApp, tetapi seperti Ismail telah keluar dari kumpulan tersebut.

Tidak hairan jika wakil PH yang mengkritik/menyindir, tetapi memang tenat kalau wakil/sekutu PN sendiri berbuat demikian.

Meskipun ahli Umno (BN) semakin kuat mengkritik Kerajaan PN, tetapi mereka tetap atau masih dalam kem kerajaan. Umno/BN tetap bukan rakan politik parti-parti komponen dalam PH.

Antaranya ialah mantan Presiden Umno, Dato’ Sri Najib Razak yang mendakwa dengan pembukaan sesetengah sektor, banyak lagi kilang atau sektor lain yang berkaitan akan turut dibenarkan beroperasi seperti biasa.

Najib meminta kerajaan tidak membiarkan PKP penuh 3.0 menjadi separuh masak atau ‘tiga suku lockdown’ – seperti PKP 2.0.

Ketua Pemuda Umno, Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki menggesa Azmin tampil menjelaskan isu penentuan sektor perkhidmatan penting semasa PKP penuh 3.0, yang turut disokong oleh Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Mohd Razlan Rafii, menafsirkan hantaran Ismail sebagai ‘ada pihak lebih besar yang mengubah keputusan’ dibuat.

Kata beliau, sekatan pergerakan penuh wajar mengikut garis panduan PKP yang tegas.
Dalam kenyataannya, Razlan berkata selagi Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Yassin terus berkurung di Seri Perdana, serta enggan berjumpa wartawan dan rakyat, keputusan-keputusan akan menjadi kelam-kabut.

Walau bagaimanapun, beliau meminta Ismail bersabar, dan terus mendengar suara rakyat.

Seorang lagi Ahli MT Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan keluhan Ismail itu sebagai tanda kegagalan Kerajaan PN.

Sebagaimana Liew, beliau yang semakin lantang mengkritik PN, menegaskan itu juga menunjukkan tiada keselarasan antara Menteri Kabinet kerajaan tersebut.

Adakah Azmin yang bukan sahaja mengkhianati rakan-rakan dalam PH, malah mengecam mereka pula, mahu menikam Ismail?

Adakah beliau, dari Bersatu mahu menganiayai Ismail dari Umno, parti yang semakin lantang mengkritik Kerajaan PN (meskipun Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad, menyifatkan Umno hanya ‘main wayang’ kerana sokongannya juga yang menyebabkan Kerajaan PN tertubuh)?

Barangkali Azmin mula merasakan beliau Perdana Menteri ke-9 hingga sanggup membelakangi arahan MKN? Perlakuan Azmin itu memang membuat warga maya mengecamnya.

Mungkin pada masa aman, larangan pembukaan kilang minuman keras sukar terlaksana. Namun begitu, sebagai orang Melayu beragama Islam, Azmin boleh menggunakan kesempatan semasa PKP penuh 3.0 ini untuk menutup kilang arak. Minuman itu bukan keperluan asas pun.

Walau bagaimanapun, seperti kata seorang lagi aktivis masyarakat yang juga warga maya terkenal, Abdul Rani Kulup, masalah ini timbul akibat amalan ‘main belakang’.

Kalau suka ‘main belakang’, sampai bila-bila pun akan sedemikian, katanya di media sosial. PN ialah kerajaan ‘pintu belakang’ yang tetap suka ‘pintu belakang’.

*RAYUSA seorang penulis bebas yang turut menulis isu sastera dan budaya tanah air.