Biarpun Menteri Tugas Tugas Khas, Datuk Mohd Redzuan Md Yusof menganggap kerajaan tidak gagal dengan mengatakan sistem undang-undang di Malaysia masih berfungsi dan tidak lumpuh, tetapi sebenarnya negara sudah tidak ada lagi sistem yang berfungsi dengan adil.
Pengerusi AMANAH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, sistem yang masih wujud hanyalah untuk menghukum rakyat biasa kerana pengecualian sentiasa diberikan kepada menteri serta VIP yang melanggar SOP ditetapkan kerajaan untuk mengekang Covid-19.
“Menteri akan menerima layanan istimewa yang berbeza jika mereka melanggar undang undang berbanding rakyat yang membuat kesalahan.
“Sebenarnya tiada lagi sistem yang berfungsi dengan adil. Sebaliknya yang ada hanyalah undang-undang songsang yang tidak adil untuk menghukum rakyat di bawah semata mata.
“Satu proses akan dilalui sebelum mencapai tahap negara gagal, dan tanda tandanya sudah ada dengan nyata dalam negara. Hanya pemimpin yang membutakan mata gagal melihatnya,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.
Kamarul yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu itu berkata, walaupun negara belum berdepan rusuhan besar-besaran dan kerosakan undang-undang, tetapi negara sudah pun berdepan banyak kes gangguan mental dan bunuh diri dalam kalangan rakyat.
Malah katanya, terdapat banyak kematian di luar sana yang dapat dielakkan jika pemerintah bertindak lebih cekap dan prihatin.
“Sindrom penafian kegagalan diri sendiri boleh menjadi punca kita benar-benar gagal secara total sebelum para menteri kita tersentak bangun dari mimpi khayalan indah mereka.
“Kerajaan kita bukan hanya buta, tapi pekak untuk mendengar suara rakyat. Bahkan membelakangkan titah Yang di-Pertuan Agong untuk segera membuka Parlimen.
“Mereka pasti takut untuk membuka Parlimen kerana punca kita hampir menjadi negara gagal adalah kerana 70 orang menteri dan timbalan menteri yang tidak kompeten ini,” ujarnya lagi