Malaysia Dateline

Kerajaan PN digesa percepatkan pelaksanaan MA63

Kerajaan Perikatan Nasional digesa supaya mempercepatkan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)sekali gus mengetepikan ideologi politik demi rakyat Sabah dan Sarawak.

Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong berkata, ini kerana pelaksanaan berkenaan adalah melibatkan kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak yang diperjuangkan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat (PH) sebelum ini.

“Saya amat harap kerajaan Persekutuan di bawah PN dapat menyelesaikan isu berkenaan dengan dengan secepat mungkin.

“Jangan beri pelbagai alasan dengan mengatakan dirujuk ke Majlis Khas atau sebagainya,” kata beliau.

Bekas Menteri Undang-undang itu memberi reaksi mengenai jawapan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Dato Hajah Hanifah Hajar Taib dengan menyatakan Kerajaan Persekutuan kini dalam proses akhir memuktamadkan cadangan struktur dan komposisi Majlis Khas bagi menyemak pelaksanaan MA63.

Pada masa sama, Liew turut meminta penjelasan mengenai status terkini empat isu yang belum dipersetujui daripada 21 isu yang dikenal pasti bagi melaksanakan MA63 sepenuhnya untuk mengembalikan hak dan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi bersama dalam Persekutuan Malaysia.

Ujarnya lagi, kerja-kerja MA63 ini sudah dilengkapkan dan laporan telah disiapkan sebelum ini di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan sekali gus memaklumkan kepada dewan yang mereka sedang meneliti laporan berkenaan.

“Jika kerajaan serius dalam perkara ini, saya dengan rela hati membantu untuk berbincang berhubung perkara berkenaan bagi memudahkan kerja.

“Ini kerana, saya sebelum ini juga seorang Pengerusi Jawatankuasa Teknikal bagi pelaksanaan MA63 ini. Jadi mudah saya jelaskan lebih lanjut, hal ini melibatkan rakyat Sabah dan Sarawak serta kita ketepikan politik dalam perkara ini.

“Adalah diharap juga perkara ini dapat dirujuk mungkin ke ‘select committee parliamentary’ MA63 iaitu Jawatankuasa Khas Parlimen, supaya di Dewan Rakyat kita dapat bincang isu ini,” tegasnya.

Liew berkata, beliau telah merujuk kepada Peguam Negara dan Peguam Negeri Sabah dan Sarawak bagi menyelesaikan hal berkenaan menerusi perundangan.

“Ini melibatkan persempadanan Sabah, Sarawak dan Semenanjung. Namun antara Sarawak dan Semenanjung ini ada masalah sebab di tengah-tengah Laut China Selatan terdapat sebuah pulau iaitu Pulau Natuna yang merupakan milik Indonesia,” jelas beliau.