Malaysia Dateline

Kerajaan PN harus akur adakan sidang Parlimen

Kerajaan pimpinan PN seharusnya mengambil berat titah perintah dan perkenan oleh pihak Istana mengenai apa jua keputusan termasuklah membolehkan sidang Parlimen diadakan.

Demikian disarankan oleh Timbalan Pengerusi Pertubuhan Teras Pengupayaan Melayu (Teras) Abdullah Mohd Nor.

Jelas beliau alasan darurat untuk tidak mengadakan sidang Parlimen tidak lagi menjadi isu kerana sudah adanya lampu hijau bagi diadakan sidang Parlimen baru-baru ini.

“Setiap kali perkenan dan titah perintah pihak istana tiada mana-mana pihak akan mempertikaikannya. Ini termasuklah membolehkan sidang Parlimen diadakan.

” Sehubungan itu pihak kerajaan pimpinan PN harus segera mengadakan sidang Parlimen dan bukannya mencari alasan untuk tidak mengadakan persidangan tersebut yang dijangka awal Mac tahun ini.

” Segerakan sidang Parlimen supaya isu-isu pembelaan terhadap rakyat khususnya dalam pandemik Covid-19 tatkala ini termasuklah vaksinisasi dapat diselesaikan degan segera tanpa helah maupun apa juga alasan,” tegas beliau.

Yang penting katanya sidang Parlimen wajar segera diadakan bagi memastikan pembelaan terhadap rakyat dapat diteruskan tanpa apa jua alasan oleh mana-mana pihak.