Malaysia Dateline

Kerajaan PN jadi pengecut Undi 18

Tindakan kerajaan PN melambat-lambatkan proses undi 18 selepas ianya disokong oleh dua pertiga Ahli Parlimen yang telah pun melepasi Dewan Negara membuktikan ketakutan yang teramat sangat kerajaan pimpinan Perdana Menteri kini.

Malah ketakutan ini seolah-olah memperlihatkan suara muda terlalu ditakuti oleh kepimpinan PN yang akhirnya memberi impak hilangnya keyakinan anak muda terhadap kerajaan sedia ada.

Menurut Ahli Jawatankuasa Mahasiswa AMANAH Nasional, Abrar Sadiq, segala kenyataan kerajaan tatkala ini cuba menafikan kuasa Parlimen sebagai medan pembuat polisi negara dengan menjadikan Covid-19 dan PKP sebagai benteng serangan pembangkang yang boleh disifatkan sebagai tidak logik dan kurang cerdik.

“Janganlah jadi seperti sebuah kerajaan yang pengecut, tidak berpijak di bumi nyata dan seharusnya mereka sedar bahawa gabungan bersama dengan Pas sudah pasti mampu meraih manfaat besar dari undi 18 kerana apabila berlakunya undi tersebut Pas mempunyai produk keluaran tahfiz mereka yang kian ramai di seluruh negara.

“Manakala PH dan NGO lain hanya mampu mendesak kerajaan melalui media sosial sahaja sedangkan PN mempunyai pelbagai jentera untuk merealisasikan aspirasi tersebut sekiranya mereka sedar dan tahu mengenai kelebihan yang ada pada golongan muda melalui undi 18.

“Sejajar dengan itu adalah lebih baik bagi PN mempercepatkan tarikh sidang Parlimen supaya segala hasrat rakyat dan keputusan yang lebih telus serta berpaksikan demokrasi dapat diputuskan tanpa permainan politik yang jijik, jelek dan membosankan sejak sekian lama, ” tegas beliau.