Malaysia Dateline

Kerajaan PN main politik balas dendam, tangguh naik taraf PIA, kata Guang Eng

Tindakan kerajaan menangguhkan kerja-kerja pembesaran dan menaiktaraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) disifatkan politik balas dendam untuk menghukum kerajaan negeri Pulau Pinang.

Ahli Parlimen Bagan Lim Guang Eng berkata, kerja-kerja menaiktaraf itu dihentikan sementara menunggu kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP) yang dijangka hanya akan siap selepas 3 tahun pada 2023, amat mengecewakan dan menidakkan kepentingan rakyat Pulau Pinang.

Keputusan menangguhkan itu dimaklumkan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong di Parlimen kepada Ahli Parlimen Jelutong dari DAP, RSN Rayer semalam.

Katanya, pembatalan projek tersebut dan ini jelas merupakan politik balas dendam untuk menghukum Pulau Pinang kerana tidak sehaluan dengan kerajaan Persekutuan Perikatan Nasional (PN).

Guang Eng ketika menjadi Menteri Kewangan, telah mengumumkan projek pembesaran PIA dalam Belanjawan 2020 di Parlimen tahun lalu kerana PIA telah menjangkaui kapasiti asal iaitu 6.5 juta penumpang setahun dengan kedatangan 8.325 juta penumpang pada 2019, satu peningkatan 6.9% berbanding 7.7 juta penumpang pada 2018.

Katanya, projek pembesaran PIA tersebut dijangka bernilai RM800 juta di mana peringkat awalnya merupakan pembesaran kapasiti penumpang daripada 6.5 juta kepada 12 juta.

“Mengapa PN perlu menunggu sehingga selepas 2023 untuk membuat keputusan? Menggunakan alasan kesan pandemik Covid-19 ke atas industri pelancongan dan sektor penerbangan untuk menangguhkan projek ini sehingga selepas 2023 adalah seolah-olah seperti kerajaan PN menjangka pandemik Covid-19 ini masih belum ditangani dalam masa 3 tahun akan datang.

“PN mestilah memberi penjelasan apa asas kepada andaian liar mereka bahawa pandemik Covid-19 masih tidak akan ditangani sehingga selepas 2023.

PIA merupakan salah satu daripada beberapa lapangan terbang di luar Kuala Lumpur yang mencatat keuntungan.

Malaysian Airports Holdings Bhd (MAHB) telah berhasrat untuk membiayai pembesaran PIA melalui initiatif pembiayaan swasta (private financing initiative) kerana PIA menjana kadar pulangan yang positif.

Kajian NASP bagi 39 lapangan terbang MAHB mungkin diperlukan untuk lapangan terbang yang mencatat kerugian, tetapi tidak masuk akal untuk menghentikan projek-projek bagi lapangan terbang yang mencatatkan keuntungan seperti PIA.

“Adakah kenyataan Wee itu bermaksud bahawa tidak akan ada kerja-kerja infrastruktur untuk semua lapangan terbang sehingga selepas 2023?

“Hakikatnya, pelaksanaan projek infrastruktur yang diperlukan adalah perbelanjaan yang penting untuk menangani kemelesetan ekonomi Covid-19. Adakah kerajaan telah lupa bahawa ekonomi Malaysia mencatat penyusutan KDNK yang paling teruk dalam sejarah sebanyak 17.1% pada suku kedua tahun ini?” soal beliau.

Projek pembesaran PIA dijadualkan bermula Jun tahun ini dan siap menjelang 2024.

PIA merupakan salah satu projek infrastruktur kritikal kerana sudah terlebih muatan sebanyak 28% dengan 8.3 juta penumpang pada 2019 menggunakan lapangan terbang yang hanya berupaya memuatkan 6.5 juta orang.

Tambahan pula, jika projek pembesaran PIA bermula sekarang, projek itu akan siap dalam 4 tahun apabila situasi sektor pelancongan kembali normal.

Jelas Guang Eng, keengganan untuk melaksanakan projek pembesaran ini bukan sahaja tindakan berpandangan sempit malah amat tidak bertanggungjawab, dalam menghantar satu isyarat yang salah kepada pelabur bahawa situasi ekonomi tidak akan pulih dalam tempoh 3 tahun ini sehingga 2023.

“Ini amat jelas bercanggah dengan dakwaan Kementerian Kewangan bahawa ekonomi akan pulih dengan segera pada awal 2021.

“Atas dasar ekonomi dan kewangan yang bernas, PN patut meneruskan projek pembesaran PIA untuk menangkis anggapan bahawa PN memangsakan dan menghukum kerajaan negeri PH kerana politik,” kata beliau.