Kerajaan PN masih dapat sokongan lebih 110 ahli parlimen, dakwa Ismail Sabri

Oleh BORHAN AHMAD

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri mendakwa kerajaan masih lagi mempunyai sokongan melebihi 110 ahli parlimen.

Sehubungan itu, bliau yang juga Ketua Whip Kerajaan berkata, rakyat perlu bertenang dalam gelora politik dan Covid-19 sekarang.

“Saya ingin menegaskan bahawa kerajaan masih mendapat sokongan melebihi 110 ahli-ahli parlimen yang masih bersama-sama kerajaan pada hari ini.

“Justeru, saya berharap rakyat bertenang dalam menghadapi situasi terkini dan sama-sama kita berdoa agar kemelut politik ini berakhir dengan segera,” kata timbalan perdana menteri yang baru dilantik itu.

Kenyataan Ismail dibuat ekoran titah Yang Dipertuan Agong yang baginda dukacita dengan tindakan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan perintah darurat telah ditarik balik.

Ekoran itu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan usul tidak percaya kepada Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yassin kerana kerajaan PN derhaka kepada Yang Dipertuan Agong.

Dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini, Anwar yang juga Presiden PKR berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) enggan mengadakan sebarang undian kerana tahu mereka telah hilang kepercayaan Ahli-Ahli Parlimen.

“Setelah titah diraja sesekali pun, mereka (kerajaan PN) ingkar dan mencari helah. Kita tidak boleh tunggu lagi.

“Parlimen sudah bersidang. Kita sudah menyatakan pandangan,” katanya sebelum terganggu seketika kerana pengumuman meminta Ahli Parlimen melakukan ujian saringan Covid-19.