Malaysia Dateline

Kerajaan PN mesti bantu anak muda belajar kemahiran manfaatkan internet

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) diseru untuk menyediakan platform khas bagi anak muda mempelajari kemahiran atas talian terutamanya panduan bagi memulakan perniagaan secara online sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Naib Ketua Pemuda AMANAH Gombak, Shazmir Hariz Noorazalan berkata, tempoh PKPB yang berpanjangan menyebabkan sebahagian anak muda kini tiada aktiviti yang bermanfaat untuk dilakukan.

Ditambah pula, pembelajaran sekolah hanya dilakukan dalam talian yang disusun secara berkala mewujudkan ruang masa yang lebih buat pelajar.

“Kerajaan boleh melantik agensi yang berkeupayaan untuk menyediakan sesi pembelajaran secara dalam talian kepada anak muda.

“Pelbagai bidang yang boleh disediakan antaranya ialah bidang kemahiran memulakan perniagaan secara dalam talian atau kemahiran pengkomputeran (word, powerpoint dan excell),” katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysia Dateline, hari ini.

Pada masa sama, Shazmir berkata, selain daripada kemahiran berkomunikasi seperti berpidato, membentang dan berunding, kemahiran asas coding, muzik dan menulis buku juga boleh diwujudkan.

Langkah ini, jelasnya, bagi membolehkan anak muda yang minat pada bidang-bidang tersebut menyertainya disamping menambah pengetahuan mereka.

Tambahnya lagi, kegagalan untuk mengisi ruang masa yang ada ketika ini menyebabkan anak muda lebih terdedah kepada aktiviti tidak bermoral sehingga mewujudkan krisis sosial.