Malaysia Dateline

Kerajaan PN mesti jawab segera dakwaan KPN

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) menjawab segala dakwaan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador secepat mungkin.

Ketua Pembangkang berkenaan berpendapat pendedahan Abdul Hamid amat mendukacitakan serta telah mencemarkan nama baik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Sebagai sebuah badan utama negara dalam mengangkat kedaulatan undang-undang, PDRM seharusnya bersifat bebas daripada campur tangan politik.

“Campur tangan yang berlaku ini secara tidak langsung membuktikan pemerintah yang tiada keabsahan ini menggunakan pelbagai cara dan helah untuk berpaut pada kuasa,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.

Kelmarin, Abdul Hamid mendedahkan campur tangan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin menganggu tugasnya dalam PDRM.

Sehubungan itu, Anwar menyifatkan hal tersebut telah merobek keyakinan rakyat sehingga boleh menimbulkan kesangsian terhadap kredibiliti PDRM pada masa ini.

“Saya menggesa siasatan menyeluruh dan lengkap dilakukan bagi menyiasat pendedahan ini, dan pemerintah mesti menjawab segala dakwaan sesegera mungkin,” kata Anwar lagi.

Menjelang hari-hari terakhir Hamid sebagai Ketua Polis Negara, beliau mengakui tidak senang dengan tindakan campur tangan Hamzah dalam pasukan itu.

“Ini yang patut dihindarkan (campur tangan), tidak boleh seseorang menteri campur urusan kawal selia PDRM.

“Beliau (Hamzah) hanya diberikan kuasa untuk tetapkan dasar… apakah hala tuju pasukan, adakah pasukan ini pincang ataupun pasukan ini ada masalah.

“Itu peranan dan tanggungjawab beliau (sebagai Pengerusi SPP), bukannya tentukan siapa CPO (Ketua Polis Negeri) siapa pengarah, peranan beliau sebagai Pengerusi SPP ada hadnya,” bidas Hamid lagi.