Malaysia Dateline

Kerajaan PN salah guna sumber kerajaan untuk kempen PRK Chini

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menggesa Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin menjelaskan secara umum tentang laporan kehadiran calon BN dan laungan “Hidup BN” dalam majlis rasmi RELA pada 27 Jun lalu.

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 berkata, anggota RELA menghadiri majlis tersebut dengan beruniform lengkap dan melaungkan “Hidup BN” sebanyak tiga kali.

“Calon BN, Mohd Sharin Md Zain dilaporkan turut hadir di majlis tersebut, sebagaimana yang dilaporkan di Facebook BN untuk Chini.

“RELA adalah unit di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), perkara ini menimbulkan beberapa persoalan, adakah majlis RELA disalahguna untuk kempen pilihan raya? Adakah anggota RELA di Chini diarah atau dimobilasi oleh KDN untuk menghadiri majlis bagi menyokong calon BN? Dan bukankah RELA sebagai jabatan kerajaan patut mengekalkan keneutralan dalam majlis mereka?” soalnya.

Bahkan katanya, persoalan juga timbul tentang mengapa calon BN hadir di majlis rasmi RELA memandangkan hanya calon BN saja hadir, ini jelas memberikan kelebihan yang tidak adil kepada calon BN.

Pada 28 Jun 2020, Ismail Sabri mengumumkan bahawa Kementerian Pertahanan akan membina pusat kecemerlangan persenjataan berjumlah RM60 juta di Kampung Bukit Chempedak Bintang, Kuala Chini dalam program ramah mesra bersama Jabatan Hal Ehwal Veteran di Bandar Dara Chini, Chini.

Ismail Sabri mendakwa bahawa projek Pusat Ujian Tropika telah diluluskan beberapa tahun sebelum ini semasa pentadbiran BN.

Menurut Bersih 2.0, memandangkan projek tersebut terletak di Chini dan pengumumannya telah di buat semasa PRK Chini, adalah sukar bagi orang ramai untuk tidak mengaitkan pengumuman tersebut sebagai penyalahgunaan sumber kerajaan untuk memancing undi.

Bagi menghapuskan keraguan orang ramai berkenaan kemungkinan salah guna sumber kerajaan, BERSIH 2.0 menggesa Ismail Sabri untuk menyediakan maklumat terperinci berkenaan kelulusan projek ini beberapa tahun dahulu, termasuklah tarikh sebenar kelulusan, mesyuarat kelulusan, bila bajet projek ini diluluskan dan daripada item mana dalam Belanjawan 2020.

Pada 30 Jun 2020, Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah dalam satu kenyataannya mengumumkan projek menaiktaraf dan mengembangkan capaian internet sedang dilakukan di Chini sejak daripada hujung Mei.

Menurut saifuddin, 10 menara pemancar 4G akan dibina dan 11 menara pemancar 2G dan 3G yang sedia ada akan dinaiktaraf ke 4G, manakala 439 premis rangkaian jalur tembaga akan digantikan dengan gentian optik.

“BERSIH 2.0 mengalu-alukan projek pembangunan yang akan memberi manfaat kepada rakyat, namun kami mempersoalkan masa projek tersebut diumumkan yang kebetulan pada tempoh pilihan raya kecil,” katanya.

Sepatutnya, kata beliau, projek baharu tersebut dirancang dengan kesedaran penuh bahawa pilihan raya kecil akan diadakan di Chini selepas mantan ADUN Chini, Abu Bakar Harun meninggal dunia pada 7 Mei.

Sekali lagi, katanya, persoalan kemungkinan penyalahgunaan sumber kementerian untuk memancing undi dan memberikan kelebihan yang tidak adil kepada parti kerajaan dalam pilihan raya.

“BERSIH 2.0 sangat menentang penggunaan sumber kementerian atau sumber awam untuk memancing undi bagi calon atau parti politik tertentu. Kami menganggap ini sebagai satu perbuatan yang tidak beretika, salah guna kuasa dan korupsi.

Justeru, Bersih 2.0 menyeru semua parti politik dan calon untuk menghentikan dengan segera sebarang penyalahgunaan sumber awam dalam kempen pilihanraya PRK Chini.

Bagi mencegah perlakuan tidak beretika yang menyalahgunakan jawatan, kuasa dan sumber untuk memancing undi bagi calon atau parti politik tertentu pada masa hadapan, BERSIH 2.0 menggesa pengenalan Akta Keneutralan Pentadbiran Awam dan untuk meminda Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi menghukum perbuatan tersebut.