Malaysia Dateline

Kerajaan PN suara demokrasi rakyat?

Ada semacam kelainan dalam kabinet baharu, ia lari daripada kebiasaan. Tidaklah tahu bagaimana idea itu timbul mungkin daripada bayangan kerajaan campuran atau perpaduan Tun Dr Mahathir yang tiada perwakilan kepartian.

Kelainannya ialah tiada Timbalan Perdana Menteri. Ia mungkin untuk menunjukkan tiada impian untuk bakal PM digantikan PM yang ada sekarang sakit atau meninggal dunia. Ia akan diuruskan oleh empat menteri kanan, jika PM keluar negara dalam jangka masa sebulan atau lebih misalnya.

Formatnya seperti majlis Presiden tetapi paksinya adalah PM dan menteri kanan adalah penasihat. Namun siapakah yang di belakang PM, memberikan nasihat dan arah tuju kerajaan supaya bertahan sehingga menjelang pilihan raya.

Siapakah The Elders itu? Sudah pastikan elit kepimpinan Umno, Bersatu dan PAS yang duduk di belakang. Datuk Seri Zahid Hamidi dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah antara pakar rujuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang. Mereka yang berada di belakang tabir menentukan semoga perjalanan PN bergerak lancar.

Oleh kuasa mutlak berada di tangan PM dan beliau menentukan segalanya dalam membuat keputusan kritikal, tidak perlu merujuk kepada TPM lagi kerana beliau boleh meminta pandangan dari menteri-menteri kanan sahaja. Adakah format ini akan berkekalan?
Sidang Parlimen dibuka pada 18 Mei tidak memberikan banyak makna dan harapan jika ahli parlimen mudah melompat kemudian ia akan mengukuhkan lagi.

Paling sedih sekali rakyat, yang sejatinya tuan dari sistem demokrasi dan undian yang dilakukan mereka yang membawa kemenangan dalam pilihan raya ke-14 ini kini
tidak lain hanya sebagai objek demokrasi itu, penting semasa mengundi, yang suaranya tidak didengari lagi bahkan aspirasinya seolah-olah tidak wujud dalam pergelutan politik berlaku sekarang.

Kerajaan PN sekarang memang tidak mendapat mandat rakyat ia bukan kerajaan demokrasi tetapi kerajaan yang wujud daripada percaturan ahli parlimen dan ahli politik yang ingin berkuasa. Agak pelik juga pihak yang menang dalam pilihan raya hasil undian rakyat kini menjadi pembangkang manakala yang kalah dalam pilihan raya menjadi kerajaan. Ini semua gara-gara ahli Parlimen berpaling tadah dan membentuk blok masing-masing.

Demokrasi di negara ini adalah permainan kebenaran para elit politik, dengan memposisikan bidak-bidak, topeng-topeng, kebenaran palsu, manipulasi dan simulasi, serta mencaturkan rakyat sebagai yang dihitung, tetapi tidak masuk ke dalam perhitungan. Di dalam gelung gelap itulah pelbagai kepalsuan disembunyikan dari rakyat melalui politik pencitraan. Saya pernah menulis artikel seperti ini dahalu di bawah tajuk `Rakyat dan Demokrasi Gelap’ dan sekarang demokrasi gelap sedang bergerak di belakang kerajaan PH semasa itu. Dan selepas mesyurat Majlis Presiden, berhentinya Tun Mahathir sebagai PM, jadi PM interim ….demokrasi gelap telah menjadi gerak yang kelihatan membelakangkan rakyat melalui kerajaan pintu dapur.
Kemudian barulah rakyat diingat semula melalui cadangan pembubaran parlimen.

Retorika rakyat didahuluku dan pencapaian diutamakan tetapi di manakah hak berbicara mereka dalam keputusan-keputusan melibatkan rakyat dalam pergelutan kuasa baru-baru ini? Seperti dikatakan Jacques Ranciere dalam Dissensus: On Politics and Aesthetics (2010), demokrasi adalah suatu paradoks, di mana pandangan kekuasaan oleh rakyat justeru adalah lukisan muram rakyat yang memiliki kekuasaan, tetapi tiada yang memberi mereka hak untuk menggunakannya.

Rakyat diperlakukan sebagai populasi (taburan dalam penataran) dan tubuh politik tidak bernama. Mereka adalah nilai tambah sosial sehingga contohnya memerlukan wakil rakyat untuk menyuarakan aspirasinya.

Menurut pakar semiotika Indonesia, Yasraf Amir Piliang kedaulatan rakyat selama ini tidak lain dari kekuatan tanpa eksistensi iaitu eksistensi tambahan dari mereka yang diperlu tetapi tidak termasuk dalam perkiraan mahupun perhitungan seperti permainan kerusi yang rakyat persaksikan, yang didahulu tetapi tidak diutamakan, yang mempunyai hak suara tetapi tidak dapat bersuara.

Tambah beliau konsensus politik selama ini menjadi alat normaliti politik, yang melaluinya dibangun pembahagian antara apa yang diterima umum dan menjadi ukuran kualifikasi dalam politik serta apa yang tidak umum.

Dalam hal ini konsensus politik kepartian menyingkirkan perkara yang tidak umum ini dari ruang politik, sebagai sebahagian dari yang seolah-olah tidak memiliki kualifikasi atau kepentingan: itulah rakyat! Apa yang dinamakan konsensus politik kian membungkam suara rakyat yang tidak umum itu.

Esensi dan hakikat politik yang perlu difahami rakyat adalah disensus lawan konsensus (sepertujuan) iaitu kecelikan politik rakyat yang membuat tampak segala yang disembunyikan, menyuarakan segala yang dibungkam, menjadikan terang segala yang gelap.

Esensi politik adalah mengganggu yang umum sebagai produk konsensus palsu, dengan menampakkan apa yang disembunyikan dari gelung gelap politik, memberi nama apa yang tidak bernama, dan membuat
bersuara segala yang dibisukan. Inilah hakikat yang merungkaikan kekeliruan dalam memahami antara yang utama dan yang didahulukan.

Pierre Rosanvallon, di dalam Counter-Democracy: Politics in an Age of Distrust (2008), menyebut kekuatan rakyat ini sebagai demokrasi tandingan (counter democracy). Kekuatan ini tidak dibangun melalui institusi parti, tetapi di dalam kekuatan kelompok-kelompok
masyarakat itu sendiri. Ini dapat dicapai dengan menyemarakkan fungsi pengawasan (check and balance) warga atas penguasa, iaitu secara terus-menerus mengawasi, memantau dan menyelidiki setiap gerak-geri penguasa.

Melalui demokrasi tandingan, kekuasaan rakyat tidak sekadar ditunjukkan secara formal melalui hak suara (right to vote) dalam pilihan raya , tetapi lebih penting lagi hak bersuara (right to speak). Adakah pandangan rakyat dirujuk dalam pergelutan kuasa baru-baru yang bermula dengan Langkah Shereton, adalah rakyat telah dikhianati?

Kepercayaan dibangun di antara penguasa dan yang dikuasai melalui mekanisme “tekanan kekal” terhadap pemerintah, baik berupa demonstrasi, petisyen, atau solidariti kukuh sebagai fungsi pengawasan, penyelidikan, penyingkapan, pendedahan dan penilaian terhadap setiap tindakan mereka.

Namun demokrasi tidak hanya bertumpu kepada mandat dan kuasa rakyat tetapi permainan kekuasaan di kalangan para elit politik, yang di dalam gelung gelap melakukan perhitungan-perhitungan, rundingan-rundingan dan konsensus palsu tanpa menyertakan rakyat secara nyata.

Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel)