Malaysia Dateline

Kerajaan PN tak patut buat pengusaha kecil terfikir untuk tutup kedai

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak bolehlah berterusan mengabaikan banyak pihak yang bersuara bagi pengusaha perniagaan mikro, kecil, sederhana (PKMS) dan informal.

Baru-baru ini Pusat Khidmat Rakyat ahli Parlimen Klang, Charles Santiago mengadakan tinjauan kaji selidik yang melibatkan 1,196 perniagaan kecil berpusatkan komuniti di sekitar Klang untuk mengetahui tahap perniagaan mereka terjejas akibat ‘total lockdown’ ini.

Hasil tinjauan menunjukkan 51.3 peratus responden tidak menerima pelepasan bayaran sewa tapak perniagaan dan menyatakan bahawa ia hanya tertakluk kepada belas ihsan pemilik kedai, sedangkan mereka sendiri mengalami kerugian dan berdepan banyak komitmen kewangan lain.

81 peratus daripada responden ini juga menyatakan simpanan mereka yang tidak seberapa hanya mampu bertahan antara sebulan hingga tiga bulan sahaja, yang akan mengakibatkan mereka bakal menutup kedai.

Data ini tidak kurang samanya dengan kenyataan yang dikeluarkan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang menyatakan bahawa lebih 90 peratus PKMS dan informal ini berhadapan risiko penutupan perniagaan akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) berterusan.

Hal ini jelas membimbangkan kerana produk serta perkhidmatan PKMS dan informal selalunya dikategorikan dalam sektor bukan penting, malah mereka tidak mempunyai simpanan atau aliran tunai yang kukuh.

Walaupun Kerajaan PN tampil dengan beberapa bantuan sokongan buat pengusaha kecil ini, ia jelas masih tidak cukup.

Menurut kaji selidik yang dijalankan pejabat Charles Santiago juga, 60.2 peratus responden telah cuba mendapatkan pinjaman daripada institusi-institusi kewangan, namun gagal.

“Perkara ini masuk akal kerana pengusaha kecil sering tidak mempunyai bukti aliran tunai yang kuat, malah skor kredit juga buruk akibat terjejas dengan kekurangan pendapatan kesan daripada PKP yang berpanjangan,” kata Charles dalam satu kenyataannya pada 15 Jun 2021.

Kaji selidik yang dijalankan oleh pejabat ahli Parlimen Klang ini menjadi bukti bahawa Pakej Rangsangan Ekonomi berjumlah RM340 bilion Kerajaan PN tetap meletakkan pengusaha-pengusaha kecil sederhana ini di pintu kerugian yang akhirnya akan menyebabkan mereka membuat pilihan untuk menutup kedai.

Oleh itu, Charles mencadangkan agar sebuah jawatankuasa khas mengenai dana bantuan sewa dibentuk segera antara Kerajaan dan pengusaha kecil, agar usahasama dapat diwujudkan dan akhirnya pengusaha kecil tidak perlu berfikir-fikir untuk menutup kedai lagi.