Malaysia Dateline

Kerajaan PN tiada hasrat tubuhkan RCI Tabung Haji

Walaupun ditanya dengan jelas apakah kerajaan akan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung dengan Tabung Haji, Menteri Hal Ehwal Agama hanya berkata, kerajaan hanya akan menubuhkan Jawatankuasa Petugas Khas sahaja, itupun jika terdapat keperluan.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Dr Zulkifli Albakri berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof (PH-Parit Buntar) yang juga Mantan Menteri Agama, secara bertulis di Dewan Rakyat.

“Pada masa ini, sekiranya terdapat keperluan, kerajaan akan menubuhkan Jawatankuasa Petugas Khas yang akan dianggotai oleh mereka yang layak dari segi kepakaran untuk mengkaji sebarang urusniaga yang dijalankan oleh pihak Tabung Haji dengan memastikan ianya menepati kepentingan TH sebagai institusi umat Islam di negara ini,” kata jawapan bertulis yang diedarkan.

Dr Mujahid dalam soalannya bertanya, “Minta Perdana Menteri menyatakan berapa keuntungan Tabung Haji bagi tahun 2018, 2019 dan unjuran keuntungan bagi 2020.”

“Apakah kerajaan mempunyai hasrat untuk menubuhkan sebarang Suruhanjaya Diraja (RCI) bagi menyiasat urusniaga -urusniaga yang telah dijalankan oleh kerajaan Malaysia.”

Para Ahli Parlimen Umno, termasuk bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Abdul Azeez Rahim sentiasa mencabar Mujahid agar menubuhkan RCI mengenai penyelewengan Tabung Haji.

Ketika Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan, Mujahid berkata, RCI tidak diperlukan kerana apa yang hendak diketahui sudah jelas selepas kerajaan melantik dua firma audit bebas dari luar untuk menyiasat kedudukan kewangan dan tadbir urus Tabung Haji.

“Namun jika kerajaan sekarang (PN) mahu menubuhkan RCI untuk menyiasat Tabung Haji, saya tidak ada masalah,” kata Mujahid dalam satu temubual khas dengan Malaysia Dateline sebelum ini.

Selain membuat desakan di Parlimen, Ketua Pemuda Umno yang juga bekas Timbalan Menteri Agama semasa kerajaan Barisan Nasional (BN) Datuk Dr Ashraf Wajdi Dusuki telah menghantar memorandum kepada Menteri Agama sekarang (Dr Zulkifli Albakri) agar menubuhkan RCI untuk Tabung Haji.