Malaysia Dateline

Kerajaan Pulau Pinang cadang beli semula rumah kos rendah daripada pemilik

Kerajaan Pulau Pinang telah menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi meneliti perancangan untuk membeli semula rumah kos rendah dan sederhana rendah yang pemiliknya telah berjaya menaik taraf status sosioekonomi mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri Jagdeep Singh Deo berkata jawatankuasa itu ditubuhkan untuk melihat sama ada skim yang baru dibina dapat diwujudkan di mana unit-unit kos rendah dan kos sederhana rendah yang dijual akan tetap menjadi milik kerajaan negeri melalui satu kaedah pajakan.

Katanya, jawatankuasa itu juga diberi tanggungjawab untuk memperhalusi mekanisme pelaksanaan dasar berkenaan, selain mengemukakan syor untuk pertimbangan serta kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kerajaan akan mengambil semula unit yang akan dikembalikan di mana ia akan disalurkan kepada pemohon baru di dalam sistem.

“Kita juga mahu memastikan stok perumahan sedemikian mencukupi untuk ditawarkan kepada golongan berkelayakan dan bukan disewa kepada pihak ketiga. Syarat perumahan jelas menyatakan unit rumah ini perlu didiami pemilik sahaja, bukannya untuk disewa,” katanya ketika sesi penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Tambahnya, kerajaan negeri memandang serius perkara ini kerana ia mencabuli syarat yang ditetapkan sekiranya unit berkenaan disewa kepada pihak luar.

Jagdeep berkata, pemilik rumah berkenaan hanya boleh menjual unit mereka kepada kerajaan negeri dan bukannya pihak ketiga dengan pengumuman mengenai cadangan itu akan dibuat nanti.

katanya, pihak kerajaan sedang mengkaji kaedah pembayaran bagi transaksi berkenaan dengan mengambil kira beberapa aspek, termasuklah baki pinjaman perumahan pemilik unit terbabit.

“Kita akan pertimbangkan jumlah baki pinjaman perumahan pemilik sebagai bayaran, jika pembeli masih terikat dengan pihak bank. Bagaimanapun, kita mungkin bayar RM42,000 jika unit berkenaan diperoleh melalui pampasan.

“Ini akan memberi situasi menang-menang bagi pemilik dan kerajaan negeri, kecuali bagi pihak yang mengharapkan ‘durian runtuh’ apabila menjual unit perumahan masing-masing,” katanya.

— BERNAMA