Malaysia Dateline

Kerajaan Pulau Pinang cadang tubuh panel kesihatan mental

Jumlah kes bunuh diri dalam negara ketika ini amat membimbangkan dan perlu diberi perhatian yang serius kerana ia menunjukkan peningkatan dimana sebanyak 631 kes bagi tahun 2020 dan 609 kes bagi tahun 2019.

Sehubungan itu kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, lebih membimbangkan apabila angka yang dilaporkan sehingga Mac tahun ini oleh PDRM telah mencecah 336 kes bunuh diri bagi seluruh negara.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedia mempertimbangkan proposal bagi menubuhkan sebuah panel penasihat kesihatan mental bagi negeri Pulau Pinang untuk menangani masalah terbabit dalam negeri ini.

“Ianya adalah dialu-alukan bagi memberi nasihat mengenai cara menangani kesihatan mental dan mampu berfungsi sebagai penggubal polisi sokongan dan seumpamanya.

” Dengan adanya panel ini, ia juga dapat membantu golongan terkesan dan membantu mereka dalam menangani isu yang semakin serius tatkala ini melalui pendedahan kesedaran mengenai masalah kesihatan mental dikalangan rakyat yang masih lagi berada pada tahap yang tidak memuaskan, ” ujar beliau dalam sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak, Georgetown hari ini.

Selain itu kata beliau, terdapat segelintir masyarakat yang beranggapan pesakit mental sebagai bahaya, tidak boleh berdikari, gila dan seumpamanya sehingga mereka dipinggirkan dikalangan masyarakat.

Sehubungan itu tegasnya, dengan penubuhan panel kesihatan mental tersebut oleh Kerajaan Negeri, ia diyakini dapat membantu penduduk Pulau Pinang untuk melihat kembali keperluan kesihatan mental mereka.

Hadir sama ialah Exco Kerajaan Negeri, Dr Norlela Ariffin, Phee Boon Poh serta barisan Ahli Dewan Undangan Negeri serta juga Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Datuk Dr Asmayani Khalib.