Malaysia Dateline

Kerajaan Pulau Pinang lancar kempen ‘Lawan Covid-19’

Chow Kon Yeow semasa majlis pelancaran ‘Penang Lawan Covid-19’ semalam.

Bagi memastikan informasi dan maklumat terkini mengenai wabak Covid-19 sampai kepada rakyat, kerajaan negeri Pulau Pinang melancarkan usaha melawan wabak tersebut melalui kempen khas ‘Penang Lawan Covid 19’.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow ketika melancarkan kempen tersebut di Georgetown semalam.

Jelasnya, kerajaan negeri serius dan bersunggguh-sungguh untuk mencegah penularan penyakit tersebut.

“Kempen ‘Penang Lawan Covid-19’ merupakan tindakan pertama bagi menyekat penyebaran berita yang tidak benar mengenai wabak tersebut.

“Menerusi kempen ini kita akan menyalurkan maklumat dan panduan mengenai pencegahan wabak tersebut.

“Ianya adalah berdasarkan kepada apa yang disalurkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” ujarnya.

Menurut Chow lagi, antara beberapa langkah yang turut diambil ialah membatalkan semua program himpunan awam melibatkan kerajaan negeri dan juga organisasi swasta mengikut garis panduan KKM.

Malah tegas beliau, semua agensi kerajaan negeri, institusi pendidikan kerajaan dan swasta serta premis-premis perlu mengambil beberapa langkah pencegahan termasuk memeriksa suhu badan mereka yang memasuki premis tersebut.

“Sediakan pencuci tangan dan amalkan penjarakkan sosial.

“Manakala kakitangan awam dan swasta yang didapati mempunyai wabak Covid-19 diminta supaya bercuti.

“Sementara itu kempen kesedaran kesihatan awam akan diadakan di seluruh negeri bagi memberi maklumat dan menyedarkan masyarakat mengenai cara perlindungan yang harus dilaksanakan,” tambah beliau.

Dalam pada itu katanya, Majlis Bandaraya Seberang Perai dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang akan mengarahkan premis perniagaan, pusat penjaja dan juga makanan bagi mematuhi langkah-langkah keselamatan kesihatan.