Malaysia Dateline

Kerajaan Pulau Pinang peruntuk RM1.3 juta bantuan ke IPT tahun ini

Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperuntukkan bantuan berjumlah lebih RM1.3 juta kepada pelajar negeri ini yang berjaya melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tahun ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata bantuan tersebut diberikan bagi meringankan beban kewangan para pelajar dan keluarga mereka yang memerlukan perbelanjaan tinggi pada peringkat awal kemasukan ke universiti.

“Pada permulaan inisiatif ini diperkenalkan, kerajaan negeri hanya memperuntukkan kepada pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sahaja.

“Namun setelah mendengar rintihan rakyat, kerajaan negeri bersetuju meluaskan pemberian bantuan ini kepada pelajar institusi swasta dan politeknik yang diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK),” katanya pada majlis penyampaian bantuan itu di Dewan Millennium di sini.

Pada majlis itu, beliau telah menyampaikan bantuan keseluruhannya bernilai RM337,300 kepada 443 pelajar serta waris mereka yang berasal dari Seberang Perai Utara dan sebelum ini, bantuan serupa turut disampaikan kepada penerima di Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan.

Chow berkata bantuan ini akan disampaikan kepada penerima di daerah-daerah Timur Laut dan Barat Daya dalam masa terdekat iaitu RM1,000 untuk pelajar yang mendaftar di IPT Semenanjung, RM1,200 untuk IPT Sabah dan Sarawak serta RM300 untuk pelajar politeknik.

“Besarlah harapan kerajaan negeri dan ibu bapa agar para pelajar ini dapat memberikan fokus sepenuhnya terhadap pengajian. Perubahan dan transformasi alam pekerjaan baharu memaksa ilmu-ilmu tambahan sebagai pakej penting dalam menakluki pasaran pekerjaan dalam Revolusi Industri 4.0,” katanya.

Dalam pada itu, Hazrina Md Razi, 53, yang mewakili anak perempuannya untuk menerima cek bantuan itu berkata beliau dan keluarga bersyukur kerana pemberian bantuan ini dapat meringankan beban kewangan keluarganya.

“Saya seorang suri rumah manakala suami pula bekerja di Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB). Memang rasa sangat-sangat bersyukur kerajaan negeri sudi beri bantuan kewangan dan meringankan sedikit beban kami,” katanya.

Anaknya, Siti Nur Hidayah Zainol, 19, tidak dapat hadir untuk menerima bantuan itu kerana telah memulakan pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM)  dalam jurusan Sains. — BERNAMA