Malaysia Dateline

Kerajaan Pulau Pinang raih keuntungan 616 peratus daripada APMG

Kerajaan Pulau Pinang meraih keuntungan sebanyak 616.1 peratus dalam pelaburannya bagi Sukan Masters Asia Pasifik (APMG) 2018 yang berlangsung pada September lepas.

Presiden APMG Pulau Pinang 2018 Chong Eng berkata APMG memperoleh RM4.5 juta daripada kerajaan negeri dan mengutip kira-kira RM2 juta daripada yuran pendaftaran dan RM500,000 wang tunai bagi penajaan.

Chong Eng, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama selain Islam negeri, berkata, sebaliknya Pulau Pinang bukan sahaja menjana RM16.6 juta melalui perbelanjaan pelancongan oleh pengunjung dari luar pulau itu dalam tempoh sembilan hari acara tersebut, tetapi juga kira-kira RM10.2 juta telah dibelanjakan di Pulau Pinang menerusi penganjuran acara itu.

“Berdasarkan kajian bebas yang dijalankan oleh Institut Pulau Pinang, APMG membawa kira-kira RM27 juta dalam aliran masuk ke dalam ekonomi Pulau Pinang dan menyumbang masing-masing kira-kira RM50 juta dan RM64 juta kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Pulau Pinang dan Malaysia, ” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif APMG, Linda Geh yang turut hadir pada sidang akhbar itu berkata APMG akan datang dijadualkan diadakan pada 2022 di Jeonju, Korea Selatan.

Geh berkata pada Persatuan Sukan Masters Antarabangsa (IMGA) menggalakkan Pulau Pinang mengadakan acara itu, berdasarkan hasil positif semasa APMG di sini.

“IMGA sedia menyokong Pulau Pinang sekiranya negeri ini merancang untuk menganjurkan acara berkenaan tetapi pada masa ini, kami belum memikirkannya lagi,” katanya.

APMG 2018 Pulau Pinang, yang berlangsung mulai 7 hingga 15 Sept lepas, merupakan Masters Games pertama diadakan di Asia. Ia menyaksikan 5,564 peserta dari 64 negara bertanding dalam 22 sukan.

— BERNAMA