Kerajaan Pulau Pinang salur RM15juta melalui Skim Pinjaman Harapan

Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman

Sejumlah lebih RM15 juta telah pun disalurkan oleh kerajaan negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bagi Skim Pinjaman Harapan (SPH) untuk rakyat Pulau Pinang.

SPH pada asalnya dikenali sebagai Projek Titian Saksama Rakyat atau PTSR dengan objektif untuk membantu mewujudkan satu sistem penyaluran modal yang mudah dan tidak membebankan peniaga dan penjaja kecil Pulau Pinang.

Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata,sebagai sebuah kerajaan negeri yang prihatin terhadap keperluan rakyat, pelbagai usaha telah diperkenalkan sejak mula menerajui kepimpinan selama tiga penggal memerintah.

Program yang telah diperkenalkan seperti penghargaan kepada warga emas, pelajar emas, anak emas, waris warga emas adalah antara beberapa program yang telah berjaya mendapat sokongan rakyat negeri ini.

Disamping itu program sokongan kepada pelajar yang memasuki institusi pengajian tinggi turut mendapat perhatian sehingga kini.

Selain dari itu kerajaan negeri juga memberi bantuan kepada pemandu teksi, operator bas sekolah, nelayan, penarik beca dan lain-lain bentuk bantuan lagi,

Jelas beliau lagi, melalui SPH, bantuan disalurkan adalah tanpa sebarang cagaran, penjamin dan juga caj perkhidmatan untuk tahun pertama.

“Jumlah pinjaman adalah antara RM1000 sehingga RM25,000 dan dibayar balik dalam jangka masa antara 1 hingga 3 tahun.

“Sejak tahun 2009 sehinggalah kini kerajaan negeri melalui PDC telah pun menyalurkan sejumlah RM15.15 juta kepada 3060 peminjam bagi seluruh Pulau Pinang.

“Malah skim yang diperkenalkan ini telah banyak membantu usahawan negeri ini mengembangkan modal perniagaan mereka, ” katanya.

Sehubungan itu ujarnya, kerajaan negeri akan terus menyalurkan bantuan dan sokongan kepada peniaga dan usahawan kecil bagi memajukan usaha niaga mereka.