Malaysia Dateline

Kerajaan Pulau Pinang sedia disaman, respons kenyataan Azmin

Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersedia menghadapi risiko disaman kerana ingkar pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula pada 4 Mei sepertimana kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Demikian respons oleh Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow.

Malah kata beliau lagi, yang menjadi keutamaan kerajaan negeri adalah melindungi nyawa 1.8 juta penduduk negeri ini sehinggakan keputusan untuk melaksanakannya dengan strategi secara berperingkat bermula pada 8 Mei.

“Sebenarnya apakah yang beliau harapkan sebagai menteri yang menjaga ekonomi apabila ia malas untuk saling berbincang dengan semua kerajaan negeri untuk mendapatkan persetujuan sebaik yang mungkin bagi pelaksanaan PKPB tersebut.

“Adalah diharapkan Menteri Kanan tidak perlu untuk menakut-nakutkan kerajaan negeri, sebaliknya hormatilah kami sebagai rakan strategik MITI bagi meletakkan negara ini di landasan pemulihan ekonomi yang sebenar.

“Pelaksanaan PKBP adalah tergesa-gesa sehinggakan memaksa JKKN Pulau Pinang mengadakan mesyuarat tergempar selama tiga kali kerana prosidur SOP bagi PKPB masih berubah-ubah dan tidak siap sepenuhnya,” ujar beliau.

Menurut beliau lagi kerajaan negeri tidak pernah membantah inisiatif untuk membuka semula ekonomi di bawah PKPB, malah memberi respons menyambut baik keputusan tersebut serta berjanji akan memberikan kerjasama bagi memulakan semula ekonomi supaya ia berjaya dilaksanakan.

Tegasnya cadangan rangka pelaksanaan ‘strategi pemulihan berperingkat Pulau Pinang’ bermula dengan fasa 1 pada 4 hingga 7 Mei iaitu persediaan untuk sektor-sektor tambahan yang dibenarkan beroperasi membuat persiapan pelaksanaan SOP.

Tambah beliau, untuk fasa 2 akan bermula pada 8 hingga 12 Mei iaitu pembukaan kepada semua sektor tambahan yang mendapat kebenaran untuk memulakan operasi di bawah PKBP, sementara rakyat pula secara perlahan-lahan boleh menyesuaikan diri dengan SOP dan norma baru tersebut.

Fasa ketiga pula katanya, bermula pada 13 Mei dan seterusnya adalah pembukaan sektor yang dibenarkan dibawah PKPB pada kapasiti penuh.