Malaysia Dateline

Kerajaan Pulau Pinang tunaikan janji, 175 ribu warga emas terima sumbangan

Kerajaan negeri Pulau Pinang yang didokong oleh Pakatan Harapan (PH) tetap menunaikan segala janji yang telah dibuat kepada penduduk negeri ini.

Sejajar dengan itu pada Sabtu lalu, seramai 175 ribu warga emas telah menerima sumbangan bagi Fasa 1 tahun 2018 sebanyak RM22,652,110 untuk seluruh Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng ketika melawat pusat penyerahan sumbangan wang tersebut bagi kawasan Dun Air Putih dan juga Air Itam berkata, program sumbangan kepada warga emas telah dilaksanakan sejak 2009 lagi.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng bersama sebahagian penerima sumbangan,

“Kemampuan kerajaan negeri memberi sumbangan ini adalah hasil kecekapan, akauntabiliti dan ketelusan yang menjadi amalan kepimpinan kerajaan negeri.

“Slogan ‘CAT’ atau “Cekap, Akauntabiliti dan Telus” telah berjaya memberi kejayaan sehingga kerajaan negeri mampu mempunyai lebihan atau ‘surplus’.

“Lebihan belanjawan sebanyak RM89.2 juta sepertimana yang telah dilaporkan oleh Laporan Ketua Audit Negara pada 2016 membuktikan kerajaan negeri mampu mentadbir dengan baik.

“Hasil lebihan tersebut telah berjaya dikongsi bersama warga emas bagi menghargai sumbangan mereka sebelum ini, ” jelasnya.

Sumbangan yang telah diberikan oleh kerajaan negeri bagi tahun 2018 telah dinaikkan dari RM100 setahun kepada RM130.

Antara warga emas yang menerima sumbangan.

Malah katanya, selain dari sumbangan tersebut, kerajaan negeri turut menghargai pelbagai golongan masyarakat.

Tegasnya lagi, antara mereka yang turut dihargai serta dibantu oleh kerajaan negeri ialah anak yang baru lahir dengan sumbangan sebanyak RM200.

“Bagi pelajar tahun satu dan tahun empat serta tingkatan satu dan tingkatan empat turut menerima sumbangan tahunan sebanyak RM100.

“Begitu juga sumbangan bagi meringankan beban kepada pelajar yang memasuki Insitusi Pengajian Tinggi turut diberi perhatian.

“Manakala suri rumah yang tidak bekerja dan waris warga emas turut menerima sumbangan dari kerajaan negeri,” ujarnya lagi.

Kerajaan negeri turut memberi penghargaan kepada golongan nelayan dengan memberikan pukat sebanyak dua kali setahun.

Selain itu pemandu teks dan operator bas sekolah yang berdaftar turut menerima pelbagai insentif yang disediakan oleh kerajaan negeri.

“Terpulanglah kepada rakyat negeri ini untuk menilai segala sumbangan yang telah diberikan oleh kerajaan negeri jika dibezakan dengan kerajaan Umno-BN sebelum ini.

“Walaupun pelbagai serangan dilemparkan terhadap kerajaan negeri, tanggungjawab untuk membela nasib rakyat akan tetap diteruskan.

“Kerajaan negeri akan terus memberi perhatian kepada pelbagai golongan yang memerlukan melalui pelbagai prorgam peduli rakyat yang telah, sedang dan akan dilaksanakan,” tambahnya lagi.