‘Kerajaan pun kerap langgar peraturan’

‘Kerajaan pun kerap langgar peraturan’

Amanah Selangor menyifatkan saranan Menteri Pendidikan supaya guru yang menyokong pembangkang meletak jawatan sebagai bukti kegusarannya bahawa guru-guru berani membuat perubahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Naib Pengerusinya, Mariam Abdul Rashid berkata, guru tidak harus dijadikan kelompok yang dikongkong minda lantaran kerana mereka berkhidmat makan gaji dengan kerajaan.

“Ada juga guru yang menyokong dan begitu juga yang menolak pendekatan kerajaan. Malah, kerajaan juga biasa melanggar peraturan bila sekolah dijadikan lokasi parti politik Umno-BN khasnya untuk berkempen dan guru-guru diarahkan untuk menghadiri program politik.

“Sekiranya guru ingin bertanding sebagai calon (pilihan raya), sudah tentu mereka akan meletakkan jawatan sebagai kakitangan awam tidak kira pro BN atau pembangkang,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Menteri Pendidikan sepatutnya mengkaji bebanan tugas guru yang bertambah dari semasa ke semasa selain merancang dan menambah baik sistem pendidikan negara.

Hal ini, jelasnya, penting bagi memastikan sistem pembelajaran tidak membebankan guru memandangkan mereka pada masa ini turut melakukan pelbagai kerja pengkeranian. 

“Boleh dikatakan dalam sehari kerja mereka melebihi 10 jam malah kadang-kadang terpaksa membawa kerja-kerja dokumentasi pelajar juga menyemak kertas peperiksaan di rumah.

“Menteri seharusnya melihat kebajikan guru termasuk mengkaji tahap dan tangga gaji guru yang sampai masa patut dinaikkan.

“Perumahan dan penempatan guru juga perlu diutamakan dan ditambah terutama guru yang mengajar di pedalaman,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Mariam berkata, golongan guru juga terpalit dengan kos kehidupan yang begitu tinggi akibat kesan inflasi dan kejatuhan ekonomi negara.

Sehubungan itu, beliau menyeru golongan guru supaya berani berubah dan tidak teragak-agak melakukan perubahan.

“Berubahlah demi generasi dan masa depan negara yang semakin hari semakin tenat terutama urus tadbir kerajaan Umno-BN yang tidak mengambil kira kebajikan serta kepentingan rakyat dalam pentadbiran mereka,” tambahnya lagi.