Malaysia Dateline

Pekerja Asing

Kerajaan Pusat, negeri perlu kerjasama atasi isu pendatang asing

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengusulkan supaya kerajaan Pusat bekerjasama dengan kerajaan-kerajaan negeri bagi membentuk sebuah lembaga atau komiti khas bagi menangani isu pendatang asing di negara ini sebijak mungkin dengan mengambilkira tanggungjawab kemanusiaan, undang-undang antarabangsa dan kepentingan negara.

Demikian dinyatakan oleh Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid selepas bengkel menangani xenophobia dan komuniti yang diadakan di Merbok, Kedah semalam.

Jelas beliau, penubuhan komiti khas di peringkat Parlimen bertujuan meneliti masalah pendatang asing demi mereka serta merangka polisi yang wajar untuk diguna pakai oleh kerajaan.

“Kami mengesyorkan jawatankuasa yang sama dibentuk diperingkat negeri supaya kerajaan negeri turut berperanan membantu menyantuni keperluan pendatang yang sesuai terutama dalam isu keselamatan, pendidikan, kebajikan, pekerjaan serta khidmat kesihatan.

“Sesuai dengan usaha yang dilaksanakan dengan menyantuni pendatang asing bagi memastikan keselamatan awam dipelihara, mengizinkan UNCHR menjalankan fungsinya membantu pelarian dan permohonan suaka, membenarkan mereka mencari nafkah hidup seharian serta kerjasama antara semua pihak termasuk NGO, masyarakat setempat serta pihak berkuasa membantu sewajarnya agar kehidupan mereka yang munasabah dapat dikendalikan.

“Sementara itu masyarakat tempatan perlu dididik mengenai isu pelarian yang terpaksa mengharungi nasib sukar di seluruh dunia, rantau dan lokal akibat konflik serta penindasan yang berlaku keatas mereka,” tegas beliau.

Malah kata Mohd Azmi lagi, pelarian perlu diberi peluang untuk dapat hidup dengan penuh aman, selamat dan bermaruah dalam keadaan menumpang di negara lain sementara mendidik mereka agar menghormati dan memahami budaya hidup masyarakat tempatan.

Tambah beliau, sikap xenofobia dikalangan masyarakat yang menyebarkan sentimen kebencian serta menyemarakkan rasa permusuhan yang boleh mencetuskan ketegangan awam dalam mengendalikan isu pendatang tanpa izin harus ditolak serta sikap xenofobia perlu dinyahkan keberadaannya dalam masyarakat dan sentimen kemanusiaan hendaklah dipupuk seluas mungkin dalam menangani isu pendatang.

“Sebenarnya Islam juga tidak membenarkan mereka yang dizalimi dibiarkan tanpa pembelaan, malahan semua agama mengajar sifat kasih dan sayang serta menyebar rahmat kepada sesama insan perlu menjadi panduan masyarakat menyantuni mereka yang tertindas dan terpinggir.

“Pelbagai ugutan, menghalau dari kediaman yang disewa serta menyebarkan prasangka buruk terhadap pendatang sewenang-wenangnya tanpa asas yang kukuh tidak sepatutnya berlaku dalam negara ini kerana ia tidak mencerminkan sikap sebenar rakyat negara ini yang diketahui umum adalah pemurah dan bertimbang rasa.

“Lebih menyayat hati dan berterima kasih insiden 94 orang termasuk kanak-kanak dan wanita pelarian Rohingya yang hanyut di laut Indonesia telah berjaya diselamatkan oleh masyarakat tempatan di Acheh dengan penuh sifat kemanusiaan dan seharusnya diteladani oleh pelbagai golongan masyarakat, ” ujar beliau.

Sejajar dengan itu kata beliau, walaupun negara ini tidak mampu untuk terus menerima pelarian Rohingya, semua negara anggota Asean perlu bekerjasama bagi menangani isu ini diperingkat rantau bagi mencari solusi jangka pendek dan panjang yang sesuai dalam keadaan sukar untuk mencari negara lain bagi menerima pelarian dalam suasana pandemik Covid 19.

Dengan itu juga tegas beliau, kerajaan disarankan supaya melihat keadaan pendatang terutamanya pelarian yang ditahan di pusat tahanan imigresen agar hak asasi mereka terpelihara khususnya golongan wanita dan kanak-kanak.

Katanya, kerajaan harus bertindak tegas terhadap mereka yang sering mengambil kesempatan dengan mengugut, mengambil rasuah dan menindas pelarian yang menjadi mangsa keadaan.