Kerajaan pusat tidak diskriminasi royalti minyak Kelantan

Kerajaan pusat tidak diskriminasi royalti minyak Kelantan

Kerajaan Persekutuan tidak mengamalkan diskriminasi dalam pembayaran royalti petroleum kepada Kelantan, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan Senator Datuk Husam Musa.

Husam berkata sebaliknya kerajaan Kelantan perlu meneliti apakah sebab kerajaan (Persekutuan) belum membayar royalti petroleum sedangkan pembayaran sepenuhnya telah dilakukan kepada negeri Terengganu.

“Mungkin ada masalah teknikal tertentu … Kerajaan Kelantan perlu cermin diri apa sebab ia belum dibayar.

“Jika kerajaan Persekutuan amal diskriminasi sudah tentu bayaran royalti tidak patut dibayar kepada Terengganu kerana jumlahnya lebih besar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Bachok hari ini, ketika diminta mengulas berhubung tuntutan bayaran royalti petroleum Kelantan yang belum direalisasikan kerajaan Persekutuan.

Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan Persekutuan tiada lagi alasan untuk tidak memberikan royalti memandangkan Kelantan telah menunaikan permintaannya, termasuk menarik balik kes mahkamah.

Berikutan itu katanya Pas berharap Kelantan akan mendapat royalti minyak menerusi Belanjawan 2020 yang dibentangkan semalam bagaimanapun ia tidak disebut dalam pembentangan itu.

Dalam pada itu mengulas berhubung Persidangan Dewan Undangan (Dun) Kelantan yang akan berlangsung minggu ini, Husam berkata negeri ini mempunyai kewangan yang mencukupi untuk dibelanjakan kerana sebahagian besar peruntukan telah disalurkan kerajaan Persekutuan.

Katanya, kerajaan di bawah PH menyalurkan terus semua peruntukan kepada kerajaan tempatan termasuk penyediaan jalan raya yang seratus peratus diurus oleh Marris di Kelantan.

Cuma katanya kerajaan Kelantan dimohon memberikan perincian status projek karbon kredit yang dimasukkan dalam belanjawan Kelantan pada 2013 membabitkan keluasan satu juta hektar hutan.

“Rakyat Kelantan perlu tahu berapa bayaran yang diterima daripada satu juta hektar bagi projek karbon kredit tersebut,” katanya.

Di bawah projek itu, Kelantan mengadakan jalinan kerjasama dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB ) dalam usaha mengurangkan kadar pelepasan karbon akibat aktiviti pembalakan yang tidak terkawal di negeri-negeri membangun.

— BERNAMA