Malaysia Dateline

Kerajaan Pusat wajar lanjutkan tempoh Program Subsidi Upah

Adalah wajar bagi kerajaan Persekutuan melanjutkan Program Subsidi Upah bernilai RM5 bilion sepertimana yang dilaksanakan selama tiga bulan sebelum ini memandangkan kesan peratusan pengangguran ekoran penularan wabak Covid-19.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Jelasnya, tempoh tersebut perlu dilanjutkan bagi memastikan rakyat yang terkesan dengan pandemik tersebut terus mempunyai pendapatan serta memberi peluang majikan memperbaiki kedudukan kewangan syarikat mereka.

“Terlalu ramai yang terkesan sehingga pendapatan mereka menyusut serta terpaksa berhadapan dengan risiko mengurangkan jumlah pekerja dalam syarikat mereka.

” Tidak dapat dinafikan melalui Program Subsidi Upah tersebut ia membantu golongan yang terkesan apabila pihak syarikat tidak mengambil tindakan memberhentikan mana-mana pekerja dan ia merupakan langkah yang baik bagi memastikan para pekerja tidak hilang pekerjaan dalam tempoh tersebut.

“Dengan Program Subsidi Upah tersebut amat diharapkan para majikan dapat meneruskan operasi perniagaan masing-masing serta tidak memberhentikan mana-mana pekerja mereka,” tegas beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri Pulau Pinang.