Kerajaan rangka formula terbaik tangani rasuah, kata PM

Kerajaan rangka formula terbaik tangani rasuah, kata PM

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata kerajaan sedang merangka formula terbaik dalam memastikan gejala rasuah yang berlaku di negara ini dapat dikurangkan dan seterusnya dihapuskan.

Beliau berkata sejak mengambil alih kerajaan pusat, pihaknya telah menubuhkan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC), memperkasakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menggubal undang-undang melibatkan rasuah dan merangka kaedah pentadbiran terbaik supaya dapat membanteras perbuatan rasuah.

“Ini bukannya langkah pertama, dan kami telah melakukan banyak kerja untuk mencegah rasuah di negara ini…kami akan berusaha habis-habisan untuk membanteras rasuah daripada berlaku di negara ini.

“Diharapkan kami sekurang-kurangnya berjaya pada tahap tertentu ke arah mencapai objektif itu,” katanya pada sidang media selepas mengikuti taklimat GIACC di Ibu Pejabat SPRM di Putraaya hari ini.

Antara barisan menteri kabinet Pakatan Harapan yang hadir dalam perjumpaan bersama pegawai SPRM hari ini.

Taklimat tertutup yang julung kali diadakan itu disertai kira-kira 160 anggota pentadbiran kerajaan termasuk jemaah menteri serta setiausaha politik dan hampir semua anggota Parlimen Pakatan Harapan (PH).

Taklimat itu bertujuan memberi pendedahan tentang pelbagai aspek berkaitan rasuah dan usaha pencegahan buat anggota Parlimen dan anggota pentadbiran kerajaan baharu yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu lapor Bernama.

 

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote