Malaysia Dateline

Kerajaan rangka strategi perangi kempen antisawit Kesatuan Eropah

Kerajaan akan merangka strategi dan pendekatan baharu bagi memerangi kempen antisawit oleh Kesatuan Eropah (EU) yang memberi persepsi negatif terhadap industri kelapa sawit di negara ini.

Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata kerajaan akan melihat semula dan beberapa visi akan dilaksanakan dalam usaha ini.

“(EU) Berselindung pada slogan ‘keprihatinan alam sekitar’ kita tahu di sebalik kempen ini ada perang dagangan kepada produk saingan kelapa sawit dan sedikit sebanyak perang kempen ini menjejaskan harga sawit mentah Malaysia,” katanya selepas melawat Kilang Gamalux Oil Sdn Bhd  hari ini.

Dalam pada itu, Shamsul berkata kerajaan melalui Kementerian Industri Utama juga telah mengambil beberapa langkah demi menstabilkan harga sawit serta memperluaskan lagi pasaran minyak sawit sebagai usaha memerangi kempen yang dilancarkan oleh Kesatuan Eropah.

“Berikutan kempen ini, harga sawit mentah telah terjejas dan kerajaan telah mengambil beberapa langkah bagi menstabilkan harga termasuk meneroka pasaran baharu dan mengukuhkan pasaran sedia ada.

“Kerajaan juga sedang giat mempromosikan Malaysia Sustainable Palm Oil Certification (MSPO) yang penghasilan industri sawit berstandard tinggi akan dapat meningkatkan keyakinan pengguna dan pembeli minyak sawit,” katanya.

Dalam pada itu Shamsul berkata usaha untuk memerangi kempen anti sawit itu akan dibuat secara berterusan dan kerajaan mengharapkan kerjasama dari semua pihak bagi bersama-sama memerangi kempen berkenaan.

Beliau juga menggesa agar semua pihak membuka ruang kepada kerajaan untuk berkongsi kebaikan industri sawit negara selain memberikan ruang untuk kerajaan menjawab sebarang kemusykilan berkaitan industri berkenaan.

Sementara itu, Shamsul turut memuji kejayaan yang dikecapi kilang Gamalux Oils Sdn Bhd yang sejak penubuhannya pada 2015 telah menjana profit yang telah menyumbang kepada industri dan ekonomi tempatan.

Kewujudan kilang Gamalux Oils di kawasan ini bukan sahaja memberi impak kepada ekonomi tempatan tetapi turut memberi peluang pekerjaan kepada warga tempatan.

Beliau berharap agar Gamalux Oils akan terus berusaha untuk terus maju dan membantu kerajaan memerangi kempen antisawit demi mengekalkan kelestarian industri sawit negara.- BERNAMA