Kerajaan rugi RM2 bilion jika tutup tol Batu Tiga dan Sungai Rasau, kata Rosnah

Kerajaan tidak bercadang untuk melupuskan dua plaza tol di Batu Tiga dan Sungai Rasau kerana kerajaan terpaksa menangung kerugian RM2bilion setahun.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin ketika menjawab balas soalan Senator Datuk Seri Syed Ibrahim di dewan rakyat hari ini, menjelaskan  kerajaan tidak berhasrat untuk menghapuskan kutipan tol di kedua-dua lokasi itu.

“Berdasarkan kajian 2012, cadangan pemansuhan kutipan tol di kedua-dua plaza tol tersebut akan melibatkan implikasi kewangan yang sangat tinggi kepada Kerajaan iaitu dianggarkan RM2 bilion,” katanya.

Rosnah menjelaskan, di samping itu,ia juga memberi kesan terhadap pengurangan trafik di lebuh raya berhampiran (Lebuhraya KESAS) berikutan timbul isu peralihan trafik dari lebuh raya bertol kepada lebuh raya tidak bertol.

Namun demikian untuk mengurangkan beban kewangan kepada pengguna, Kerajaan telah memutuskan untuk mengekalkan kadar tol di kedua-dua plaza tol tersebut sejak tahun 2005 lagi, katanya.

Beliau berkata langkah ini bermakna pengguna masih menikmati kadar tol yang lebih rendah di kedua-dua plaza tol tersebut.

Rosnah turut memberitahu, Jawatankuasa khas berkaitan isu pelarasan kadar tol akan menyerahkan hasil mesyuaratnya kepada Jemaah Menteri tidak lama lagi untuk keputusan muktamad setelah  jawatankuasa tersebut bermesyuarat tiga kali.

“Mesyuarat dipengerusikan bersama oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

“Ia turut dianggotai wakil Kementerian Kewangan, Unit Kerjasama Awam Swasta Jabatan Perdana Menteri, Pejabat Peguam Negara dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) yang berunding dengan syarikat-syarikat konsesi.

“Saya difahamkan tiada lagi mesyuarat selepas ini dan hasil mesyuarat akan dibentangkan dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau mengulas mengenai jawapan beliau sewaktu sesi soal jawab kepada soalan tambahan Senator Zali Mat Yasin mengenai kadar tol tahun depan di persidangan Dewan Negara hari ini.

Dilaporkan, Fadillah sebelum ini berkata terdapat lapan lebuh raya yang layak untuk menaikkan kadar tol pada tahun hadapan, tetapi kenaikan itu belum dimuktamadkan.

Lebuh raya berkenaan ialah Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Lebuhraya Link Kedua, Lebuhraya Utara Selatan Lingkaran Tengah (Elite), Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), Lebuhraya Seremban-Port Dickson, Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuhraya Selat Klang Utara (NNKSV).

Masyarakat dan media sosial telah mula bercakap-cakap mengenai kenaikan tol di beberapa lebuh raya yang sekaligus menambah beban berikutan tambang pengangkutan awam telah naik ketika ini.

 

 

TAGS