Malaysia Dateline

Kerajaan Sabah beri sumbangan kepada keluarga nahas di New Zealand

Kerajaan negeri Sabah melalui Dewan Undangan Negeri (DUN) Petagas menyampaikan sumbangan RM20,000 kepada keluarga empat mangsa yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Kaikoura, New Zealand, pada Jumaat lepas.

Sumbangan disampaikan oleh Pembantu Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah yang juga ADUN Petagas Datuk Uda Sulai di kediaman ahli  keluarga Allahyarham Dr Rumihati Abd Hamid di Kampung Ulu, Putatan, pada Isnin.

Ketika ditemui pemberita, Uda berharap bantuan kewangan itu mampu meringankan sedikit sebanyak keperluan ahli keluarga terbabit yang ditimpa musibah.

“Sumbangan ini adalah daripada kerajaan negeri melalui ADUN Petagas untuk mengatasi masalah kewangan dihadapi oleh keluarga mangsa dan mereka sangat-sangat memerlukan sumbangan  seperti ini, ” katanya.

Beliau turut menyampaikan ucapan takziah daripada Ketua Menteri Sabah  Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kepada ahli keluarga mangsa dan bersimpati atas musibah  yang berlaku.

Dalam kejadian itu, Dr  Rumihati, 49, dan suaminya,  Adanan Jemain, 49, bersama anak sulung Nur Irfan, 15, dan Maisarah Arifah, 13,  terkorban dalam insiden  kemalangan melibatkan sebuah kereta dan trak di Kaikoura, New Zealand.

Mangsa yang terselamat iaitu anak bongsu pasangan terbabit, Nur Arifah Bahiyah, 11, kini dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan susulan di Hospital Wellington.– BERNAMA