Malaysia Dateline

Kerajaan Sabah kukuh, tepis dakwaan peralihan kuasa

Kerajaan Negeri Sabah di bawah Parti Warisan Sabah (Warisan) tetap kukuh dan kekal seperti biasa sekali gus menolak dakwaan bahawa peralihan kuasa bakal berlaku.

Setiausaha Agung Parti Warisan, Datuk Loretto Padua Junior dipetik dalam Portal Borneo Today sebagai berkata, tindakan segelintir individu yang menyebarkan mesej palsu itu hanyalah satu cubaan untuk membawa isu sentimen kejatuhan kerajaan di Semenanjung kerana ingin mengurangkan sokongan rakyat di Sabah kepada Warisan.

Katanya, Warisan menggangap isu tersebut adalah sebagai sengaja dipermainkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab terutamanya mereka yang menggunakan sentimen yang berlaku di Semenanjung seperti di Melaka dan di Kedah.

“Jadi sebelum isu di Kedah itu sejuk, dia cuba bawa masuk di Sabah dan mainkan sentimen itu di sini untuk menghasut rakyat negeri ini serta membuatkan orang percaya bahawa Kerajaan Sabah ini tidak kukuh, goyah dan mungkin akan bertukar tangan,” jelas beliau.

Menurutnya, negeri Sabah tidak boleh disamakan dengan situasi di Kedah dan Melaka kerana majoriti membentuk pentadbiran yang sedia ada agak tinggi berbanding negeri lain.

“Walapun Warisan masih baru memasuki dua tahun mentadbir Sabah, tetapi banyak perubahan yang telah dilakukan oleh parti itu.

“Mungkin rakyat mahu perubahan yang segera namun adalah mustahil melakukannya kerana terlalu banyak kerosakan yang dilakukan pemerintahan kerajaan terdahulu.

“Justeru, bagilah sedikit masa kepada kepimpinan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal selaku Ketua Menteri kerana beliau tahu apa yang beliau lakukan.

“Ini kerana, segala tohmahan yang dilemparkan hanyalah bertujuan untuk mengoyahkan pentadbiran negeri yang diterajui Warisan,” ujarnya lagi.