Malaysia Dateline

Kerajaan Sabah masih kukuh, khabar angin akan tumbang tidak berasas

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal menegaskan kerajaan hari ini mempunyai lebih dua pertiga majoriti daripada bilangan kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN),

Oleh itu, katanya, khabar angin yang mengatakan Kerajaan Sabah akan tumbang tidak berasas sama sekali.

“Kami masih lagi kerajaan yang memerintah hari ini dan kita mempunyai majoriti lebih dua pertiga. Jadi jangan dengar dakwaan sebegini. Cerita ini sudah lama, sejak mereka mengambil alih kerajaan lagi mereka katakan kerajaan Sabah akan berubah.

“Malah, semasa hari raya baru-baru ini pun dikatakan akan berlaku perubahan dalam kerajaan Sabah. Tapi saya yakin Sabah bukan macam negeri-negeri lain,” katanya dipetik Borneotoday.net.

Katanya, perbuatan mengganggu-gugat kestabilan negara dan negeri Sabah bukan satu amalan yang baik.

Beliau turut memberi jaminan kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) akan meneruskan tanggungjawab mentadbir negeri dan menjaga kebajikan rakyat dengan sebaiknya.

Biarpun ada pihak luar yang cuba menggugat kestabilan negeri namun, beliau meminta rakyat agar tidak mendengar khabar angin sebegitu kerana kerajaan masih lagi kukuh dan Kabinet Negeri juga berjalan seperti biasa.

“Saya beri jaminan semua okay dan kami masih berfungsi sebagai Kabinet Negeri dan kerajaan memerintah hari ini.Biarpun apa orang cakap,” katanya.

Kerajaan Sabah masih memiliki 45 kerusi termasuk ADUN dilantik manakala, blok pembangkang mempunyai 20 kerusi termasuk seorang ADUN dilantik.

Ketika ini, DUN Sabah mempunyai 65 kerusi termasuk lima kerusi ADUN dilantik.