Kerajaan sahkan Felda bermasalah, kata Pakatan Harapan

Kerajaan sahkan Felda bermasalah, kata Pakatan Harapan

Pakatan Harapan akan menyusun semula pelaburan Felda jika mengambil alih Putrajaya bagi memberikan tumpuan kepada perniagaan teras perladangan yang selaras dengan objektif meningkatkan kesejahteraan peneroka.

Dalam satu kenyataan bersama, Pakatan Harapan berkata, gabungan itu juga akan mengkaji manfaat dan risiko mengembalikan kawalan majoriti Felda Holdings Berhad dari Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) kepada Koperasi Permodalan Felda.

Kenyataan ini berikutan jawapan bertulis parlimen bahawaKumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terpaksa menjual saham milknya daripada FGV.

Semalam media melaporkan, KWSP mencatatkan kerugian sebanyak RM203.18 juta apabila menjual saham-saham miliknya dalam FFGV pada bulan Ogos yang lalu.

“Perlu disedari bahawa tindakan KWSP adalah respon kepada prestasi kewangan yang bermasalah secara berterusan serta pengurusan lemah dan mengelakkan KWSP yang dimiliki rakyat terbanyak mengalami kerugian yang lebih parah.

“Kelemahan pentadbiran FGV bukan sahaja telah mengakibatkan kerugian terhadap peneroka Felda malah kepada rakyat biasa yang juga selaku pencarum kepada KWSP,” kata kenyataan yang diwakili Hasanuddin Mohd Yunus (Amanah), Datuk Mohamad Ariff Sabri Abdul Aziz (DAP) dan Syed Ibrahim Syed Noh (PKR).

Kenyataan itu juga mencadangkan segala transaksi yang tidak telus dan melibatkan kepentingan pihak tertentu, seperti pelaburan Eagle High Plantations dan pinjaman wang dari Putra Star Investments dibatalkan dalam situasi Felda yang semakin parah ini.

FGV disenaraikan di Bursa Malaysia pada tahun 2012, menjana perolehan RM10 bilion dengan disebut-sebut menjadi salah satu daripada tawaran awam permulaan (IPO) terbesar dunia bagi tahun berkenaan, kedua selepas Facebook Inc.

Firma berkenaan membuat kemunculan pertama pada harga RM4.55 sesaham tetapi mengalami trend menurun semenjak itu.

Harga saham FGV mencecah paras terendah RM1.19 sesaham pada bulan Ogos 2015.

COMMENTS

Wordpress (0)