Malaysia Dateline

Kerajaan salur bantuan khas RM10 juta kepada pesawah

Bantuan Khas Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) kepada pesawah berjumlah RM10 juta akan mula disalurkan kepada pesawah pada tahun 2023.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Mohamad Sabu berkata Bantuan khas BERNAS sebanyak RM10 juta bagi tahun 2022 itu terlebih dahulu akan diberikan kepada tiga buah negeri di Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Manakala pesawah di negeri-negeri lain akan menerimanya apabila baki bantuan khas BERNAS berjumlah RM50 juta disalurkan,” kata beliau dalam kenyataan.

Menurut Mohamad lagi, pesawah di tiga buah negeri terbabit akan menerima bantuan khas tersebut selewat-lewatnya pada 16 Januari depan.

“MAFS dan agensi di bawahnya sedang memuktamadkan senarai nama dan nombor akaun pesawah di ketiga-tiga negeri bagi memastikan proses penyaluran berjalan lancar.

“Seramai 20,598 pesawah akan menerima manfaat daripada sumbangan BERNAS ini berjumlah RM250 bagi setiap pesawah,” katanya lagi.

Pada awal Disember lalu, BERNAS bersetuju dengan permintaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya disediakan peruntukan sebanyak RM60 juta bagi membantu pesawah di seluruh negara.