Kerajaan salur RM8.7 juta bantuan awal persekolahan di Melaka, kata Exco

Kerajaan salur RM8.7 juta bantuan awal persekolahan di Melaka, kata Exco

Bantuan Awal Persekolahan 2019 berjumlah RM8.7 juta akan disalurkan  kepada seramai 87,187 pelajar sekolah menengah dan rendah yang layak di negeri ini, kata Exco Pendidikan, Modal Insan, Sains dan Inovasi negeri, Nor Effandi Ahmad .

Beliau berkata peruntukan khas kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan Malaysia itu diagihkan kepada pelajar di 313 sekolah di Melaka secara berperingkat bermula awal minggu ini dan minggu depan.

“Bantuan awal persekolahan berjumlah RM100 itu diberikan kepada pelajar Tahun 1 hingga Tingkatan 5 dalam kalangan isi rumah berpendapatan bulanan bawah RM3,000.

“Pemberian bantuan ini sedikit sebanyak diharap dapat meringankan beban perbelanjaan pada awal tahun yang ditanggung oleh ibu bapa atau penjaga membeli kelengkapan dan membayar yuran persekolahan,” katanya  kepada pemberita hari ini.

Terdahulu beliau menyampaikan Bantuan Awal Persekolahan 2019 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Temu di sini kepada 520 pelajar yang turut dihadiri Pengetua SMK Padang Temu, Zamnah Hashim.

Dalam pada itu, Nor Effandi yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas turut menasihatkan kepada hampir 95 peratus pelajar yang menerima bantuan di sekolah itu supaya  dapat  memanfaatkan pemberian tersebut dengan sewajarnya.

“Saya juga ingin mengingatkan kepada mereka yang masih belum menjelaskan yuran seperti yuran PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) dapat memaklumkan kepada ibu bapa atau penjaga supaya dengan persatuan dapat bergerak untuk melaksanakan program yang memberi kebaikan kepada para pelajar.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai isu rungutan harga makanan dijual di kantin sekolah mahal yang tular baru-baru ini di laman sosial, Effandi berkata pihaknya melihat isu itu tidak timbul di negeri ini dan sehingga minggu keempat persekolahan pihaknya tidak lagi menerima sebarang aduan mengenai isu itu.

Beliau turut mengalu-alukan  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna  (KPDNHEP) negeri Melaka melakukan pemantauan di kantin sekolah bagi memastikan harga makanan dan minuman dijual berpatutan dan munasabah

“Harga (makanan) yang ditetapkan seperti dalam perjanjian kantin dan sekolah semasa mereka (pengusaha kantin) mendapat tender, jadi sebenarnya rungutan itu kita lihat bersifat subjektif, jika ada rungutan di media sosial itu bukan perkara rasmi ,” katanya.- BERNAMA