Malaysia Dateline

Kerajaan sasar lahirkan 50,000 usahawan tahun ini

Kerajaan menyasarkan seramai 50,000 orang usahawan akanĀ  dilahirkan di seluruh negara dalam masa setahun ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Mohd Hatta Ramli berkata, dengan usaha keras yang dilaksanakan kerajaan dan agensi berkaitan setakat ini, sasaran untuk melahirkan usahawan sebanyak mungkin dalam setahun ini adalah positif.

Beliau berkata, tugas kementeriannya ialah memfokuskan pembangunan usahawan di kalangan penduduk dan masyarakat kampung agar dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa.

Ini kerana jelasnya, agensi-agensi berkaitan kementerian seperti Tekun Nasional dan Amanah Ikhtiar Makaysia (AIM) termasuk Majlis Amanah Rakyat (Mara) sentiasa memberi bantuan membantu usahawan mencapai keperluan bagi meningkatkan lagi taraf ekonomi mereka.

“In shaa Allah…kita mensasarkan lebih kurang 50,000 usahawan bakal dilahirkan pada setiap tahun.

“Dan untuk tahun lalu, seramai 37,000 usahawan telah dilahirkan jika mengikut data daripada Tekun Nasional berdasarkan pinjaman yang diluluskan ke atas mereka,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Bengkel Membuat Kek dan Biskut di Kampung Seri Serabang, Bongawan, Sabah hari ini.

Dr Hatta turut memberitahu bidang usahawan telah menyumbangkan pendapatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 38 peratus pada 2019 dan dijangka terus naik pada tahun akan datang.

Tegasnya, bidang usahawan adalah luas dan terbuka kepada semua golongan masyarakat dan penduduk khususnya di negeri Sabah untuk memulakannya.

“Dengan demikian, saya berharap kepada belia dan anak-anak di kampung yang tamat persekolahan adalah digalakkan menceburi bidang ini.

“Dan kerajaan sedia membantu kepada mereka yang berminat dengan memberi tunjuk ajar dan pinjaman untuk memulakan perniagaan,” ujarnya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi AMANAH Sabah, Lahirul Latiji dan pelatih-pelatih Giat Mara serta seramai 150 orang penduduk kampung.

Bergambar kenangan bersama peserta BengkelĀ Membuat Kek dan Biskut di Kampung Seri Serabang, Bongawan, hari ini.