Malaysia Dateline

Kerajaan sedia bawa pulang rakyat Malaysia di Wuhan, kata Mahathir

Malaysia bersedia membawa pulang rakyatnya yang kini berada di Wuhan, China berikutan wabak 2019 novel koronavirus jika dibenarkan kerajaan negara itu, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Untuk tujuan itu, beliau berkata kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar akan memulakan rundingan secepat mungkin dengan kerajaan China.

“Mereka (rakyat Malaysia) sekarang tidak boleh keluar dari Wuhan tetapi kita ingin runding dengan kerajaan China supaya rakyat Malaysia yang tidak sakit boleh balik ke Malaysia,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat kabinet, di sini hari ini.

Menurut Dr Mahathir, terdapat 78 rakyat Malaysia di Wuhan ketika ini.

Jika dibenarkan pulang oleh kerajaan China, rakyat Malaysia berkenaan akan dikuarantin terlebih dahulu bagi memastikan mereka tidak dijangkiti koronavirus, sebelum dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing, katanya.– BERNAMA