Malaysia Dateline

Kerajaan sedia cari semula MH370 jika ada bukti kukuh

Kerajaan sedia memulakan semula usaha pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak empat tahun lepas, jika ada bukti kukuh mengenai keberadaannya, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

“Kerajaan telah menyatakan bahawa jika ada bukti kukuh dan penemuan meyakinkan bahawa kita dapat mencari pesawat itu, kita akan mempertimbangkan semula.

“Kita tidak menutup sepenuhnya ruang untuk kemungkinan meneruskan misi pencarian, tetapi kerajaan tidak boleh buat pencarian sepanjang masa, tanpa bukti kukuh,” katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pengangkutan pada persidangan Dewan Rakyat semalam.

Penerbangan MH370 yang membawa 239 penumpang dan kru hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, 2014.

Misi mencari pesawat hilang itu di Lautan Hindi meliputi kawasan 120,000 kilometer persegi melibatkan Australia, China dan Malaysia tidak membuahkan hasil.

Satu lagi misi pencarian diusahakan Ocean Infinity, syarikat penerokaan dasar laut berpangkalan di Amerika Syarikat, namun ditamatkan pada 29 Mei lalu tanpa sebarang penemuan.

Loke berkata beliau akan bertemu dengan sekumpulan waris penumpang dan kru MH370 yang dilapor akan menyerahkan apa yang didakwa penemuan serpihan-serpihan baharu kepada beliau.

Dalam isu lain, Loke berkata kerajaan bercadang menambah kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di kawasan yang dikenal pasti berpotensi berlaku kemalangan termasuk melalui konsep tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Memang kita sedang berunding dengan pihak PLUS yang menawarkan bantuan kepada kerajaan untuk membantu memasang AES di kawasan ‘hotspot’,” katanya yang menyifatkannya sebagai situasi menang-menang.

Tegas Loke, kerajaan bukan berniat untuk mengutip saman yang tinggi namun ia merupakan peringatan kepada pengguna jalan raya supaya sentiasa memandu dengan berhemah dan selamat.-Bernama.