Geran RM150 juta untuk pemandu teksi bebas sistem pajakan

Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM150 juta bagi membantu pemandu teksi yang ingin keluar daripada sistem pajakan untuk membolehkan mereka memiliki lesen teksi individu bagi ketegori teksi bermeter dan kereta sewa bermula 1 September ini.

Geran RM150 juta untuk pemandu teksi bebas sistem pajakan

(dari kiri)Mohd Azharuddin Mat Sah dan Tan Sri Syed Hamid AlbarKerajaan memperuntukkan sejumlah RM150 juta bagi membantu pemandu teksi yang ingin keluar daripada sistem pajakan untuk membolehkan mereka memiliki lesen teksi individu bagi ketegori teksi bermeter dan kereta sewa bermula 1 September ini.

 Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar berkata kabinet telah meluluskan Program Transformasi Industri Teksi (TTIP) yang akan dilaksana secara berperingkat, bagi menyelesaikan isu-isu yang lama melanda industri tersebut.

“Pemandu teksi yang mahu keluar daripada sistem pajakan akan menerima geran berjumlah RM5,000 seorang itu daripada kerajaan sebagai subsidi kos membeli kenderaan baharu.

“Pemohon juga mesti bebas daripada rekod jenayah,saman lalu lintas dan tidak muflis.

“Bagaimanapun ia tertakluk kepada terma dan syarat dengan peluang akan diberi kepada mereka di bawah SPAD dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya dalam sidang media diadakan di pejabat SPAD petang tadi.

Dalam hal ini dijangkakan seramai 2,000 pemandu teksi akan dapat menyertai program ini apabila skim pajakan antara pemandu dan syarikat pengendali tamat tempoh.

Dalam TTIP juga Kerajaan meluluskan 11 program termasuk mengawal selia aplikasi e-hailing dan mewajibkan Petunjuk Prestasi Utama KPI) untuk pengendali teksi, bagi mewujudkan persekitaran industri yang adil bagi pemandu, pengendali dan pengguna industri.

Justeru Syed Hamid berkata, pemandu teksi harus menerima perubahan sistem untuk mengunakan aplikasi sebagaimana yang digunapakai dalam perkhidmatan GrabCar dan Uber

“Kerajaan telah mengiktiraf perkhidmatan e-hailing ini, kita perlu akur dengan perubahan teknologi seperti aplikasi ini berdasarkan kehendak pengguna dan peredaran zaman.

” Dalam perkhidmatan e-hailing ini semua pemandu diwajibkan untuk ditemuduga dalam memastikan kebolehpercayaan dalam tempoh peralihan syarikat pengendali dan pemandu yang akan didaftarkan di bawah SPAD.

“Antara program yang akan dilaksanakan adalah mengawal selia aplikasi e-hailing sebagai perkhidmatan pengantara di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD),” katanya.

Dalam sidang media  sama turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Mohd Azharuddin Mat Sah berkata, pemandu teksi biasanya terperangkap dalam sistem pajak dan terpaksa membayar bayaran bulanan untuk kenderaan mereka.

“Selepas terma tamat, mereka boleh jual kereta tetapi mereka tiada lesen. Dalam isu ini, mereka layak mendapat lesen individu,” katanya.

Minggu lalu dilaporkan keperluan Spad untuk mengawal konsep teksi elektronik menjelang akhir tahun ini bakal membuka jalan kepada pengesahan perkhidmatan Uber dan Grab di sisi undang-undang, seperti diputuskan kabinet.

Hari ini juga SPAD telah mengadakan pertemuan tertutup dengan persatuan teksi untuk menjelaskan program TTIP ini di Bukit Kiara sebelah pagi sebelum mengadakan sidang media di bangunan SPAD petang tadi.

SPAD dalam TTIP yang dikemukakan baru-baru ini antaras lain menjelaskan keperluan membenarkan Uber dan GrabCar serta menyamaratakan medan persaingan untuk pemandu teksi.

Bagaimanapun ia tidak mendapat sambutan dikalangan pemandu teksi yang beranggpan Uber dan Grabcar menganggu periuk nasi 70,000 pemandu teksi seluruh negara.

Dalam hal ini, Syed Hamid menjelaskan demi kepentingan pemandu dan syarikat pengendali serta manfaat rakyat dan pindaan beberapa undang-undang dijangka akan dibentangkan pada sidang parlimen November ini.