Malaysia Dateline

Kerajaan sedia semak semula barang dikenakan SST

Datuk Saifuddin Nasution Ismail

Kerajaan bersedia menyemak semula senarai barangan yang dikenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi melihat jika terdapat keperluan untuk mengecuali atau pun mengurangkan kadar cukai barangan tersebut.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, walaupun senarai barangan itu secara prinsipnya telah dimuktamadkan, namun ada keadaan di mana pengecualian SST perlu dibuat setelah mendapat maklum balas daripada pemain industri melalui lawatan dan pemeriksaan yang dijalankan menteri berkaitan.

“Kita akan melihat keperluan terlebih dahulu, sebab semak (senarai barangan dikenakan SST) dan mengurangkan (kadar cukai SST) bermaksud kekurangan hasil kepada kerajaan, jadi kerajaan harus cermat dalam meneliti.

“Sesuatu item yang kerajaan nak kecualikan (SST) kerajaan kena kira dulu, contohnya lima peratus kita turunkan kutipan cukai, membawa kehilangan hasil berapa, jadi aspek itu diberikan tumpuan oleh menteri kewangan,” katanya selepas mengadakan pemeriksaan SST di pusat servis Perodua hari ini lapor Bernama.

Setakat ini, sebanyak 5,443 barang dikecualikan SST, berbanding kira-kira 500 barang saja ketika rejim Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) manakala 5,612 dikenakan cukai jualan 10 peratus selain lebih 600 barangan bagi cukai jualan sebanyak lima peratus.

Bagaimanapun setelah kadar cukai dikurangkan atau pengecualian cukai diberikan, beliau berharap agar pihak berkaitan dapat menurunkan harga sesuatu barangan kerana kos pengeluaran telah diturunkan.

Sehubungan itu Saifuddin berkata, buat masa ini beliau akan mengurangkan masa duduk di pejabat dan akan lebih menumpukan kepada aktiviti turun padang bertemu peniaga, pengilang dan pemain industri bagi mengetahui kekangan dan permasalahan yang dihadapi mereka.

Mengulas pengumuman Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkenaan pengecualian SST bagi beg plastik beras, beliau berkata, beliau akan cuba berbincang dengan Guan Eng jika terdapat keperluan untuk turut mengecualikan SST bagi kilang pengeluaran makanan yang turut menggunakan bahan sama.

“Jadi oleh kerana pelaksanaan (SST) masih lagi di peringkat awal saya tengok Kementerian Kewangan agak fleksibel dalam membuat keputusan tentang suatu item yang boleh dikecualikan,” katanya yang menyambut baik keputusan tersebut.

Sejak pelaksanaan Operasi Catut 5.0 yang bermula 8 Ogos hingga 3 Sept lalu, sebanyak 3,084 premis telah diperiksa, iaitu 147 premis pengilang, pengimport (15), pengedar (34), pemborong (223) serta peruncit sebanyak 2,665 premis dengan keseluruhan barangan berjumlah 88,298.

Sebanyak 434 notis telah dikeluarkan di bawah Seksyen 21(2) Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011, serta 387 notis di bawah Seksyen 53(a) AKHAP 2011.