Malaysia Dateline

Kerajaan sedia tangguh ratifikasi ICERD

Kementerian Luar hari ini menjelaskan proses ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) bukan satu keutamaan bagi Malaysia buat masa ini.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata kerajaan juga bersedia untuk menangguhkan proses berkenaan mengikut saranan umum.

“Keputusan berhubung ratifikasi ICERD akan dibuat oleh Kabinet dan kita akan ambil kira semua perkara yang ditimbulkan, termasuk saranan (menangguhkan ratifikasi ICERD),” katanya ketika menggulung perbahasan peringkat dasar Belanjawan 2019 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, semalam.

Katanya selain ICERD, kerajaan berusaha untuk meratifikasi konvensyen hak asasi manusia antarabangsa yang masih belum ditandatangani, iaitu Perjanjian Antarabangsa Hak Sivil dan Politik; dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Penderaan dan Perlakuan atau Hukuman Lain yang Kejam, Tidak Berperikemanusiaan atau Menjatuhkan Martabat.

Konvensyen lain yang belum diratifikasi adalah Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan; Konvensyen Antarabangsa mengenai Perlindungan Hak Semua Pekerja Migran dan Ahli Keluarga; serta Konvensyen Antarabangsa bagi Perlindungan Semua Orang Daripada Kehilangan yang Dipaksa.

“Kita tahu ICERD boleh menimbulkan isu dan ia bukan konvensyen yang pertama yang kita cuba ratifikasi, ada lima lagi, mungkin ada dua yang kita boleh dahulukan iaitu Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Penderaan dan Perlakuan atau Hukuman Lain yang Kejam, Tidak Berperikemanusiaan atau Menjatuhkan Martabat; dan Konvensyen Antarabangsa bagi Perlindungan Semua Orang Daripada Kehilangan yang Dipaksa,” katanya.

Jelasnya, kementerian juga telah mengadakan beberapa siri engagement (libat urus) dengan orang awam dan beberapa siri lagi akan diadakan, termasuk sesi libat urus Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang akan diadakan pada 27 November ini bagi membincangkan isu ICERD.

“Saya nak jelaskan, kita tidak tergesa-gesa untuk membuat perkara yang boleh menimbulkan masalah kepada negara dan bangsa, sebab itu saya kata kerajaan Pakatan Harapan akan tetap pertahan ‘the body of constitution’, perkara-perkara fundamental dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Penggulungan Saifuddin berlangsung dalam keadaan ‘panas’ apabila beliau tidak putus-putus diganggu anggota Parlimen, terutamanya daripada barisan pembangkang, yang membangkitkan isu ICERD dan meminta penjelasan menteri itu berhubung pendirian kerajaan terhadap ICERD.

— BERNAMA