Malaysia Dateline

Kerajaan sedia terima 22.5 juta pengundi pada tahun 2023, kata Nik Nazmi

Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad berpendapat kerajaan tidak akan berhadapan masalah besar dengan pertambahan mendadak pengundi baharu setelah had umur 18 tahun diluluskan di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, kerajaan bersedia menghadapi jangkaan sebanyak 7.6 juta pengundi baharu yang berumur 18 tahun dan 22.5 juta keseluruhan termasuk 21 tahun ke atas.

Menurut Ahli Parlimen Setiawangsa itu, kerangka pelaksanaan pendaftaran secara automatik yang bakal dilaksanakan akan membantu memudahkan proses pengundian yang baharu.

“Kita tak ada masalah besar terima pengundian yang ramai sebanyak 22.5 juta pada tahun 2023 kerana kita akan ada pendaftaran automatik dan ada kerangka.

“Memandangkan mengundi antara hak paling asas untuk warganegara, maka kita dapat kaitkan dengan kad pengenalan identiti setiap warganegara dan kita boleh lakukan ini kerana kita ada database mereka.

“Bila buat IC pada umur 12 tahun, maksudnya dia dah diaktifkan sampai umur 18 tahun, secara automatik dah masuk dalam sistem daftar pemilik. Paling penting kita ada kerangka, jadi tiada masalah besar untuk melaksanakan pendaftaran secara automatik,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam Forum Make a Change, Let’s Do it Together yang membincangkan topik Ke Arah Automatik: Keperluan atau Kehendak Semasa?, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, hari ini.

Panel lain, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.

Beliau turut berkata, tiada isu tidak mencapai kematangan kerana ia bukan satu masalah apabila selepas ini calon perwakilan kemungkinan akan dilantik dari golongan muda berusia 18 tahun.

Sementara itu, Wee Ka Siong berkata, ibu bapa dan pendidik perlu memainkan peranan mendedahkan kepada anak muda tentang kepentingan mengundi.

Ini kerana katanya, masalah pengundi yang tidak mahu keluar mengundi tidak akan selesai sekiranya matlamat hanya untuk menurunkan had umur semata-mata.

“Kalau setakat turunkan (had umur), kita tak selesaikan masalah. Jadi, kita kena syorkan makanisme untuk laksanakan pendaftaran secara automatik kerana tak mudah untuk SPR selesaikan dalam satu tahun setengah.

“Ibu bapa dan pendidik perlu memainkan peranan mendedahkan tentang sistem mengundi dan kepentingannya. Kalau golongan pendidik cerita bukan-bukan, mereka pun akan terpengaruh dengan benda tak faedah.

“18 tahun sudah matang. Saya yakin sampai satu tahap mereka boleh berfikiran waras dan matang. Proses itu penting,” ujarnya.