Kerajaan sedia timbang bina tebatan banjir di Kelantan dan Terengganu

Kerajaan sedia timbang bina tebatan banjir di Kelantan dan Terengganu

Kerajaan sedia menimbang untuk membina tebatan banjir di Kelantan dan Terengganu meskipun memerlukan peruntukan besar.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata berdasarkan penilaian beberapa pihak, tebatan banjir di Sungai Golok memerlukan kos berjumlah RM700 juta manakala Besut RM400 juta.

“Kita nak ringankan bab tu (banjir) kalau boleh kita nak buat tebatan banjir. Kita akan tengok secara keseluruhan… kita tahu bahawa perbelanjaan yang diperlukan itu tinggi.

“Dianggarkan kalau di Sungai Golok tu RM700 juta dan kat sini (Besut) sahaja dah RM400 juta. Jadi ini bukan sesuatu yang senang dan mudah untuk ditangani. Tapi kerajaan akan cuba ke arah itu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Seri Payong di sini, hari ini.

PPS itu menempatkan 162 mangsa daripada 36 keluarga sejak lima hari lepas.

Tambah Dr Wan Azizah, sudah sampai masanya kerajaan mengambil inisiatif agar perkara sama tidak berulang dan kajian terperinci akan dilakukan dengan mengambil kira pelbagai faktor termasuk bentuk muka bumi serta persekitaran.

Beliau turut menyatakan bahawa mangsa banjir yang ditempatkan di PPS bakal menikmati kemudahan yang lebih baik bagi memberi keselesaan dan menjaga kebersihan.

Tambahnya, sebagai permulaan tandas bergerak akan diletakkan di PPS dan tindakan itu bagi mengelak kerosakan tandas yang perlu ditanggung pihak sekolah, malah jumlah mangsa yang ramai juga akan menyebabkan tahap kebersihan sukar dikawal.

Beliau turut menekankan supaya kebajikan golongan wanita dijaga terutama bagi yang masih dalam pantang dan perlu menyusu bayi dengan menyediakan ruang tertentu.

Mengenai pengurusan mangsa banjir di kedua-dua negeri, beliau berkata kesemua petugas menunjukkan dedikasi tinggi malah melakukan tugasan dengan tertib dan tersusun.

Meskipun berlaku beberapa masalah kecil seperti barang keperluan yang tidak mencukupi di Kelantan, ia telahpun diatasi oleh pihak terbabit.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah mengucapkan takziah kepada keluarga dua mangsa banjir yang maut di Kelantan semalam.

“Saya ingin ambil kesempatan ucap takziah kepada keluarga kanak-kanak yang berusia tujuh tahun yang lemas dan tergelincir ketika memasang pukat bersama bapa saudaranya di Felcra Teratak Batu dekat Pasir Putih, Kelantan.

“Dimaklumkan ada satu lagi kes lemas di sawah yang ditenggelami banjir di Tumpat, Kelantan… memang ajal di tangan Allah cuma kalau boleh kita cuba elakkan… selain itu, sentiasa dapatkan maklumat banjir dan sentiasa jaga keselamatan diri dan keluarga,” katanya.

Mayat Eh Phong Areang, 49, ditemui pada 11.30 pagi semalam oleh penduduk kampung selepas tergelincir ketika mengangkat pukat di Kampung Jubakar, Tumpat.

Sebelum itu, mayat Muhammad Eilham Hasmadi juga ditemui pukul 8.00 pagi semalam, kira kira 400 meter dari lokasi dia terjatuh di Felcra Teratak Batu, Pasir Putih.– BERNAMA