Kerajaan sedia tubuhkan RCI Memali jika ada permohonan, kata Salleh

Kerajaan sedia tubuhkan RCI Memali jika ada permohonan, kata Salleh

Kerajaan bersedia meneliti keperluan bagi menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat peristiwa hitam Memali pada 1985 sekiranya ada permintaan rasmi daripada mana-mana pihak termasuk yang pernah terlibat dalam tragedi itu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata bagaimanapun sehingga kini, belum ada individu atau pihak berkenaan yang membuat permohonan rasmi bagi penubuhan RCI untuk dipertimbangkan kerajaan.

“Ia terserah kepada kerajaan untuk menimbang sama ada setuju atau tidak tubuh RCI sebaik menerima memorandum dari pihak berkenaan.

“Kita akan tunggu (perkembangan lanjut),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Sektor Logistik dan Pos dan Perkhidmatan Teknologi Komunikasi Maklumat, Union Network International-Asia Pacific Regional Organisation (UNI-APRO) di sini, hari ini.

Banyak pihak termasuk bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam, yang merupakan Menteri Dalam Negeri semasa peristiwa Memali pada 19 Nov 1985, telah memberi pandangan masing-masing berhubung keperluan menubuhkan RCI itu.

{loadposition myposition} Anak Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Muhammad Khalil juga meminta supaya bapanya diberi ruang dan peluang untuk menjelaskan kepada umum berkaitan ucapan kontroversi Hadi pada 1983 yang dikenali sebagai ‘Amanat Hadi’ yang didakwa menjadi pencetus kepada peristiwa itu.

Merujuk kepada permintaan Muhammad Khalil itu, Salleh berkata isu yang berbangkit dalam hal ini hingga memerlukan RCI ditubuhkan adalah lebih kepada apa yang berlaku semasa kejadian di Memali dan bukannya bertumpu kepada ‘Amanat Hadi’.

Beliau berkata objektif utama sekarang adalah untuk mencari keadilan bagi semua yang terlibat dalam peristiwa itu.

“Secara prinsipnya, pada saya, keadilan itu boleh dilewatkan tapi tidak boleh dinafikan,” kata Salleh.

Peristiwa Memali itu, yang Kertas Putih mengenainya pernah dibentang kerajaan di Parlimen,

menyaksikan 18 orang termasuk empat anggota polis terbunuh dan ramai lagi cedera ketika polis melancarkan operasi menangkap guru agama Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali dengan nama Ibrahim Libya di Kampung Memali, Baling, Kedah.

CATEGORIES
TAGS